Tuesday, July 10, 2012

Hadis Mahsyur di Bulan Ramadhan...


Berikut adalah hadis berkaitan kelebihan bulan Ramadhan yang mahsyur dalam kalangan umat Islam di Malaysia sejak dahulu lagi :
  1. Barangsiapa melakukan satu amalan sunat pada bulan Ramadhan, pahalanya seperti melakukan amalan fardhu. Barangsiapa melakukan amalan fardhu, pahalanya seperti dia melakukan 70 kali amalan fardhu di bulan-bulan lain.
  2. Barangsiapa memberi makan kepada orang yang berbuka puasa, baginya kebebasan daripada api neraka dan dia beroleh pahala seperti orang yang berpuasa tanpa mengurangi sedikit pun.
  3. Ramadhan awalnya rahmat, pertengahannya keampunan, akhirnya kebebasan dari api neraka


Berikut adalah sanad dan matan penuh hadis yang dinyatakan di atas :

ثنا علي بن حجر السعدي ثنا يوسف بن زياد ثنا همام بن يحيى عن علي بن زيد بن جدعان عن سعيد بن المسيب عن سلمان قال :  خطبنا رسول الله صلى الله عليه و سلم في آخر يوم من شعبان فقال : أيها الناس قد أظلكم شهر عظيم شهر مبارك شهر فيه ليلة خير من ألف شهر جعل الله صيامه فريضة و قيام ليله تطوعا من تقرب فيه بخصلة من الخير كان كمن أدى فريضة فيما سواه و من أدى فيه فريضة كان كمن أدى سبعين فريضة فيما سواه وهو شهر الصبر و الصبر ثوابه الجنة و شهر المواساة و شهر يزداد فيه رزق المؤمن من فطر فيه صائما كان مغفرة لذنوبه و عتق رقبته من النار و كان له مثل أجره منغير أن ينتقص من أجره شيء قالوا ليس كلنا نجد ما يفطر الصائم فقال : يعطي الله هذا الثواب من فطر صائما على تمرة أو شربة ماء أو مذقة لبن و هو شهر أوله رحمة و أوسطه مغفرة و آخره عتق من النار من خفف عن مملوكه غفر الله له و أعتقه من النار و استكثروا فيه من أربع خصال : خصلتين ترضون بهما ربكم و خصلتين لا غنى بكم عنهما فأما الخصلتان اللتان ترضون بهما ربكم فشهادة أن لا إله إلا الله و تستغفرونه و أما اللتان لا غنى بكم عنهما فتسألون الله الجنة و تعوذون به من النار و من أشبع فيه صائما سقاه الله من حوضي شربة لا يظمأ حتى يدخل الجنة 

قال الأعظمي : إسناده ضعيف علي بن زيد بن جدعان ضعيف
كتاب  : صحيح ابن خزيمة رقم 1887
تحقيق : دكتور محمد مصطفى الأعظمي
الناشر : المكتبة الإسلامية, بيروت 1970 - 1390


Maksudnya :
Dari Salman (Al-Farisi) r.a berkata, Rasulullah SAW berkhutbah kepada kami pada akhir bulan Syaaban :
"Wahai manusia! Telah datang kepada kamu satu bulan yang agung lagi diberkati. Satu bulan yang dalam bulan itu terdapat satu malam (Lailatul Qadr) yang lebih baik dari seribu bulan. Satu bulan yang Allah SWT telah menjadikan puasa pada siang hari sebagai satu amalan fardhu dan berdiri pada malam hari (bertarawih) sebagai satu amalan sunat. Sesiapa yang menghampiri Allah pada bulan itu dengan mana-mana amalan sunat maka seumpama seorang yang telah menunaikan fardhu pada bulan-bulan lain dan sesiapa yang menunaikan satu fardhu pada bulan itu adalah seumpama seseorang yang menunaikan 70 fardhu pada bulan-bulan lain."

"Bulan itu adalah bulan kesabaran dan ganjaran kesabaran adalah syurga. Bulan itu adalah bulan simpati, bulan yang ditambahkan rezeki kepada orang-orang beriman. Sesiapa yang memberi seseorang yang berpuasa untuk berbuka, maka pemberiannya itu merupakan pengampunan untuk dosa-dosanya dan kelepasan dirinya dari api neraka dan dia mendapat ganjaran puasa orang tersebut tanpa mengurangi sedikitpun daripada ganjarannya."

Para Sahabat r.an.hum lalu berkata, "Tidaklah setiap dari kami mempunyai sesuatu untuk diberikan kepada orang yang berpuasa untuk berbuka puasa." Maka Rasulullah SAW bersabda, "Allah SWT memberikan pahala itu kepada sesiapa sahaja yang memberikan walaupun sebiji tamar atau seteguk air ataupun sesisip susu kepada orang yang berpuasa untuk berbuka." 


"Bulan itu adalah satu bulan yang pada bahagian awalnya merupakan rahmat, pertengahnya merupakan keampunan dan akhirnya merupakan kelepasan daripada api neraka. Sesiapa yang meringankan bebanan hamba-hambanya (pekerja/khadam) pada bulan itu maka dia akan diampunkan oleh Allah dan akan dilepaskan daripada azab api neraka."

"Perbanyakkanlah pada bulan ini empat perkara. Dua perkara yang kamu dapat meredakan Tuhan kamu dan dua perkara lagi tidak boleh tidak kamu perlukan. Adapun dua perkara yang kamu dapat meredakan Tuhan kamu dengannya adalah penyaksian bahawa tiada tuhan melainkan Allah dan kamu memohon istigfar daripada-Nya. Manakala dua perkara yang tidak boleh tidak kamu perlukan ialah memohon syurga daripada Allah SWt dan meminta perlindungan daripada api neraka."


Sesiapa yang memberi minum kepada mana-mana orang yang berpuasa maka Allah SWT akan memberinya minum dari telagaku (pada hari kiamat) dengan sekali minum, dia tidak akan dahaga lagi sehingga dia masuk ke dalam syurga."
-------------------------------------------------------------------------------------

Hadis di atas dipetik dari kitab Shahih Ibnu Khuzaimah No. 1887, cetakan Maktabah Al-Islamiyyah, Beirut Tahun 1970M - 1390H. Kitab ini telah ditahqiq/diteliti oleh Dr. Muhammad Musthafa Al-A'zhami dengan komentar beliau bahawa Isnad hadis ini Dhaif, Ali bin Zaid seorang perawi yang dhaif.

Ibnu Khuzaimah menyatakan hadis ini shahih lalu menukilkan dalam kitab Shahihnya. Namun begitu, hasil kajian Ulama Hadis Kontemporari, hadis ini sebenarnya berstatus dhaif. Antara yang menyatakannya dhaif adalah Dr. Muhammad Musthafa Al-A'zhami pentahqiq kitab ini dan Syeikh Muhammad Nasiruddin Al-Albani. Perselisihan ini adalah disebabkan perawi hadis yang bernama Ali bin Zaid. Sebahagian ulama hadis menyatakan beliau seorang yang dhaif, sebahagian menyatakan bahawa beliau seorang yang saduuq (benar).

Perselisihan ulama berkenaan status hadis ini diakui sendiri oleh Syeikhul Hadith Maulana Muhammad Zakaria Al-Khandalawi dalam kitabnya Fadhail Amal, Bab Fadhilat Ramadhan yang banyak berada di masjid-masjid. (perhatikan muka surat 1 Bab Kelebihan-Kelebihan Bulan Ramadhan). Walaubagaimanapun, beliau menyatakan bolehnya diterima hadis ini dengan dua alasan :
  1. Hadis ini merupakan hadis fadhail
  2. Kebanyakan isi hadis ini disokong dengan riwayat-riwayat yang lain
(lihat m/s 3 : Bab Kelebihan-Kelebihan Bulan Ramadhan) 

Justeru, ustaz bersetuju dengan pandangan Maulana Zakaria bahawa walaupun hadis ini diperselisihi oleh ulama, tetapi masih boleh beramal sebagai galakan atau motivasi kepada kita. Kita beramal dengan hadis ini dengan harapan di sana mungkin ada jalan-jalan periwayatan yang lain shahih. Tambahan pula Ibnu Khuzaimah menshahihkan hadis ini. Mungkin kita boleh menerima pandangan Ibnu Khuzaimah yang menyatakan hadis ini shahih, bahkan beliau terkenal sebagai seorang ulama hadis yang hebat pada zamannya.



Rujukan :
  1. Muhammad bin Ishaaq bin Khuzaimah, Shahih Ibnu Khuzaimah, Tahqiq Dr. Muhammad Musthafa Al-A'zhami.Al-Maktabah Al-Islamiyyah Tahun 1970M - 1390H. 
  2. Muhammad Nasiruddin Al-Albani, Silsilah Al-Dhaifah. Maktabah Al-Ma'rifah, Riyadh.
  3. Syeikhul Hadith Maulana Muhammad Zakariya Al-Khandalawi, Kitab Fadhail 'Amal, Penerbit Era Ilmu Sdn. Bhd Tahun 2011.

Zainul Ariff Husaini Bin Zainul Fuad
9.20 malam
10 Julai 2012
Rumah Warden Aspura,
Sekolah Menengah Sains Johor, Kluang.

No comments:

Post a Comment

Sila hantarkan maklumbalas anda...