Friday, January 9, 2015

Selamat Kembali Ke Sekolah

Assalamualaikum wbt..

Dah lama ustaz tidak update blog ini.. inshaa Allah tahun ini akan cuba luangkan banyak masa untuk update info2 yang bermanfaat...

Ustaz ucapkan selamat kembali ke sekolah kepada semua pelajar seluruh Malaysia, khususnya pelajar Sekolah Menengah Sains Johor (SCORE). Anda semua pulang ke asrama hari ini dan akan memulakan sesi persekolahan mulai hari esok. Semoga semuanya akan berjalan lancar pada tahun ini, dengan memperoleh kejayaan yang cemerlang, bukan sahaja dalam bidang akademik, bahkan juga sahsiah, akhlak, disiplin.. Semoga kita semua berjaya di dunia dan akhirat.




Daripada :
Ustaz Zainul Ariff Husaini bin Zainul Fuad
Sekolah Menengah Sains Johor 2015

Wednesday, October 10, 2012

Lafazkan Cintamu...


Dari Miqdam bin Ma'di Kariba r.a, Nabi SAW bersabda : 
...
إِذَا أَحَبَّ الرَّجُلُ أَخَاهُ فَلْيَخْبِرْهُ أَنَّهُ يُحِبُّهُ
Maksudnya : “Apabila seseorang mengasihi saudaranya, khabarkanlah kepadanya bahawasanya dia mengasihinya”.

Hadith Sahih : Diriwayatkan oleh Abu Dawud (5124), At-Tirmizi (2392) dan Ibnu Hibban (570).
 ...
Huraian Ringkas Hadith :
 ...
Sunnah mengucapkan rasa sayang kepada rakan atau sahabat, tetapi jarang sekali diamalkan. Alasannya malu, atau bimbang dikatakan ‘gay’ atau ‘lesbian’. Hakikatnya Nabi SAW menganjurkan kita menzahirkan rasa kasih terhadap saudara/sahabat dengan menyatakan secara lisan.
...
Tetapi kita tidak malu mengucapkan ‘sayang’ kepada wanita atau lelaki yang bukan hak kita untuk menyatakan demikian kepada mereka. Boleh jadi hukumnya haram kerana membawa kepada kemaksiatan. 

Wallahu a’lam…

Friday, September 14, 2012

Jangan Ketawa Apabila ..... .... ....





عَنْ الْأَسْوَدِ قَالَ دَخَلَ شَبَابٌ مِنْ قُرَيْشٍ عَلَى عَائِشَةَ وَهِيَ بِمِنًى وَهُمْ يَضْحَكُونَ فَقَالَتْ مَا يُضْحِكُكُمْ قَالُوا فُلَانٌ خَرَّ عَلَى طُنُبِ فُسْطَاطٍ فَكَادَتْ عُنُقُهُ أَوْ عَيْنُهُ أَنْ تَذْهَبَ فَقَالَتْ لَا تَضْحَكُوا فَإِنِّي سَمِعْتُ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ مَا مِنْ مُسْلِمٍ يُشَاكُ شَوْكَةً فَمَا فَوْقَهَا إِلَّا كُتِبَتْ لَهُ بِهَا دَرَجَةٌ وَمُحِيَتْ عَنْهُ بِهَا خَطِيئَةٌ



Dari Al-Aswad dia berkata; "Pada suatu hari, seorang pemuda Quraisy berkunjung kepada Aisyah, isteri Rasulullah, ketika beliau (Aisyah) sedang berada di Mina. Kebetulan saat itu para sahabat sedang ketawa, hingga Aisyah merasa hairan lalu bertanya; 'Mengapa kamu ketawa? ' Mereka menjawab; 'Si fulan jatuh menimpa tali kemah hingga lehernya (atau matanya) hampir lepas(putus).' Aisyah berkata; 'Janganlah kamu ketawa terbahak-bahak! Kerana sesungguhnya aku pernah mendengar Rasulullah Sallallahu 'Alaihi Wasallam bersabda: 'Tidaklah seorang muslim tertusuk duri atau yang Iebih kecil dari itu, melainkan akan ditulis baginya satu darjat dan akan dihapuskan satu kesalahannya.'
 
HR. Muslim 
Syeikh Muhammad Fuad bin Abdul Baqi : No. 46-(2572)
Muwaffaq Mar'iy : No. [6561]

Wednesday, August 29, 2012

Puasa Qadha, Puasa Sunat 6 Hari Di Bulan Syawal & Matematik…



Bolehkah menggabungkan puasa qadha Ramadhan dengan puasa sunat 6 hari bulan Syawal?


 ..
Kebanyakan masyarakat di Malaysia khususnya kaum wanita keliru dengan masalah menggabungkan puasa qadha/ganti Ramadhan dan puasa 6 hari di bulan Syawal. Lebih merumitkan keadaan, apabila ada sebahagian ustaz atau ustazah menyatakan bolehnya menggabungkan puasa qadha dan puasa sunat, dan ada sebahagian pula tidak membolehkannya. 
 ..

Penulis ada mendengar Ustaz Don Daniyal dalam rancangan 60 minit Ustaz Don sempena Raya menyatakan tercapainya pahala puasa 6 bagi wanita yang mengqadhakan puasa Ramadhan di dalam bulan Syawal. Menurut beliau, pandangan ini disokong oleh Syeikh Daud Fathani dalam kitabnya Furu’ Al-Masail.
(Sila rujuk kitab beliau). ..


Menurut satu sumber, Ustaz Abu Hasan Din Al-Hafiz menyatakan tercapainya pahala puasa 6 bagi wanita yang mengqadhakan puasa Ramadhan dalam bulan Syawal. Sila baca : http://keranakasihnabi.blogspot.com/2012/08/puasa-sunat-syawal-1-tanyalah-ustaz.html
 ..
 Manakala Dr. Zaharuddin Abdul Rahman menganggap adalah lebih baik tidak digabungkan. Sila baca : http://zaharuddin.net/fiqh-ibadah/96-a-isu-gabung-puasa-qadha-a-sunat-b-cara-ganti-puasa-berganda-ganda.html
 ..
Begitu juga jawapan yang diberikan oleh Jabatan Mufti Negeri Perlis, dan diperakui oleh Dr. Juanda Jaya, adalah lebih baik tidak menggabungkannya. Sila baca : http://mufti.perlis.gov.my/soal-jawab/187-hukum-gabung-puasa-qadha-dan-puasa-enam-syawal
 ..
Bagi pandangan peribadi penulis, pendapat yang menyatakan adalah lebih baik tidak menggabungkan puasa qadha dengan puasa sunat adalah lebih kuat  dan lebih utama untuk diamalkan daripada pendapat yang membolehkan penggabungan tersebut. 
 ..
KENAPA SAYA BERPENDAPAT DEMIKIAN?
 ..
Tidak menggabungkan puasa qadha dengan puasa sunat adalah lebih baik. Terdapat banyak hujah yang telah dikemukan oleh Dr. Zaharuddin Abdul Rahman dan Jabatan Mufti Negeri Perlis (Sila baca). Dalam tulisan ini penulis hanya ingin mengemukakan 1 hujah sahaja yang tidak dinyatakan oleh Dr. Zaharuddin & Jabatan Mufti Negeri Perlis. Hujah penulis dari sudut matamatik sahaja, dan ini bukanlah hujah konkrit, hanya sekadar pandangan penulis.
 ..
Al-Hafiz Ibnu Katsir dalam kitabnya Tafsir Al-Quran Al-Azhim (Tafsir Ibnu Katsir) menyatakan :
 ..
“Pada permulaan Islam, puasa dilakukan tiga hari pada setiap bulan. Kemudian hal itu dinasakh (dihapus) dengan puasa satu bulan penuh, iaitu pada bulan Ramadhan.. Diriwayatkan dari Mu’adz, Ibnu Mas’ud, Ibnu Abbas, ‘Atha’, Qatadah dan Adh-Dhahhak bin Muzahim, bahawa puasa itu pertama kali dijalankan seperti yang diwajibkan kepada umat-umat sebelumnya, iaitu tiga hari setiap bulan. Ditambah oleh Adh-Dhahhak, bahawa perlaksanaan puasa seperti itu masih tetap disyariatkan pada permulaan Islam sejak Nabi Nuh a.s sehinggalah Allah menasakhnya dengan puasa Ramadhan.” (Lihat Tafsir Ibnu Katsir Tafsir ayat 183 Surah Al-Baqarah)
 ..
Penjelasan
 ..
Kita sedia maklum bahawa dalam setahun ada 12 bulan, maka kiraan berpuasa di awal Islam sebelum disyariatkan puasa Ramadhan ialah :
12 bulan X 3 hari = 36 HARI PUASA.
..
Kemudian setelah turun ayat 183 Surah Al-Baqarah yang menfardhukan puasa di bulan Ramadhan. Lalu Rasulullah SAW menganjurkan kita berpuasa sunat 6 hari di bulan Syawal.
..
Maka apa relevannya Rasulullah SAW menganjurkan kita berpuasa sunat 6 hari di bulan Syawal sepertimana hadis daripada Abu Ayyub Al-Anshori, Nabi SAW bersabda :

مَنْ صَامَ رَمَضَانَ ثُمَّ أَتْبَعَهُ سِتًّا مِنْ شَوَّالٍ كَانَ صَامَ الدَّهْر

Maksudnya: "Barangsiapa yang berpuasa di bulan Ramadhan kemudian diikuti dengan puasa enam hari bulan Syawal maka seakan-akan ia berpuasa setahun". (HR Muslim No. 2758. 204-(1164), Abu Daud No. 2433, At-Tirmizi No. 759, Ibnu Majah No. 1716)
 ..
Pada pandangan penulis, relevannya Nabi SAW menganjurkan berpuasa sunat 6 hari pada bulan Syawal adalah untuk mencukupkan puasa kita 36 hari sepertimana jumlah disyariatkan sebelum datangnya perintah puasa Ramadhan. (Harap maklum bahawa adakalanya puasa Ramadhan 30 hari, adakalanya 29 hari sahaja).
 ..
30 hari puasa Ramadhan + 6 hari puasa sunat Syawal = 36 HARI PUASA
..
Justeru, bagi wanita yang tidak menyempurnakan puasa Ramadhannya, jika menggabungkan puasa qadha dengan puasa sunat Syawal, maka angka ini tidak akan tercapai. Sebagai contoh, dia perlu mengqadhakan 4 hari puasa ramadhan. Dia berpuasa di bulan Ramadhan hanya 26 hari, kemudian mengqadha 4 hari pada bulan Syawal, dan menambah lagi 2 hari puasa di bulan Syawal untuk mencukupkan bilangan 6 hari. Maka jumlah puasanya hanyalah 32 hari sahaja.
 ..
Untuk menguatkan lagi hujah ini, penulis membawakan satu lagi hadis :

‏ ‏عَنْ ‏ ‏أبي ذَرٍّ ‏ ‏قال ,‏قال رسول الله ‏ ‏صلى الله عليه وسلم ‏: ‏(مَنْ صَامَ مِنْ كُلِّ شَهْرٍ ثَلَاثَةَ أَيَّامٍ فَذَلِكَ صِيَامُ الدَّهْرِ) فَأَنْزَلَ اللهُ عز وجل تَصْدِيقَ ذَلِكَ فِي كِتَابِهِ ‏{مَنْ جَاءَ بِالحَسَنَةِ فَلَهُ عَشْرُ أَمْثَالِهَا} ‏اليَومُ بِعَشْرَةِ أَيَامٍ. ‏
 ..
Maksudnya : Daripada Abu Dzar r.a dia berkata, Rasulullah SAW bersabda : “Barangsiapa berpuasa tiga hari setiap bulan, maka itulah puasa satu tahun. Lalu Allah menurunkan pembenarannya di dalam kitab-Nya : {Barangsiapa membawa amal yang baik, maka baginya pahala sepuluh kali lipat} (Al-An’aam : 160). Satu hari senilai dengan sepuluh hari. (HR At-Tirmizi No. 762. At-Tirmizi menyatakan hadis ini Hasan Shahih. Hadis ini dinilai Shahih oleh Syeikh Muhammad Nasiruddin Al-Albani, lihat Shahih At-Targhib Wa At-Tarhib Hadis No. 1035. Juga diriwayatkan oelh Ahmad, An-Nasa’i, Ibnu Majah dan Ibnu Khuzaimah dalam Shahihnya)
 ..
Jelas kepada kita dalam setahun ada 365 hari (Masehi) atau sekitar 354 hari (Hijrah). Maka untuk mendapatkan pahala seolah-olah berpuasa selama setahun seperti yang dinyatakan dalam Hadis Riwayat Muslim di atas, maka perlulah kita mencukupkan puasa selama 36 hari.
 ..
36 hari puasa X 10 ganjaran = 360 hari puasa = 1 tahun puasa
..
Maka bagi yang tidak mencukupkan puasanya sebanyak 36 hari, tidak tercapailah pahala puasa sebanyak 360 hari sepertimana yang dinyatakan dalam Hadis Riwayat At-Tirmizi di atas.
 ..
Semoga penjelasan ini bermanfaat kepada semua…
 ..
Wallahu a’lam…
 ..
Zainul Ariff Husaini Bin Zainul Fuad
Rumah Warden SMS Johor
31 Ogos 2012
1.10 a.m.