Tuesday, February 28, 2012

TAZKIRAH MAGHRIB 28/2/2012 : RIBA

Pelajar Tingkatan Empat boleh merujuk buku teks Tingkatan Empat di bawah tajuk "Dosa-Dosa Besar Membawa Kemurkaan Allah" mukasurat 90. Walaubagaimanapun di dalam tazkirah ustaz ini, ada beberapa penambahan yang tidak dinyatakan dalam buku teks.

Pengertian Riba
a.       Bahasa : pertambahan atau peningkatan
b.      “Sebarang tambahan dalam item-item ribawi dan tambahan ke atas hutang akibat tempoh.”
c.       Teks F4 : Faedah atau pertambahan bayaran dalam urusan pinjaman, hutang piutang, pertukaran makanan yang sama jenis termasuk juga mata wang.

Hukum : Haram & Berdosa Besar

Jenis Riba

a.       Riba An-Nasi’ah : pertambahan kerana menangguhkan bayaran. Penjual menaikan harga barang setelah pembeli gagal membayar dalam tempoh yang ditetapkan. 

b.      Riba Al-Fadhl : pertambahan melalui pertukaran barang (ribawi) yang sama jenis. penjual menjual sesuatu barangan ribawi yang sama jenis disusuli tambahan. Contoh : jual 10kg beras basmati dengan 15kb beras biasa.

Barangan Ribawi 
Berdasarkan hadis yang diriwayatkan oleh Imam Muslim, terdapat enam item yang diklasifikasikan sebagai barangan Ribawi, iaitu :
  1. Emas
  2. Perak
  3. Gandum
  4. Barli
  5. Kurma
  6. Garam
Walaubagaimanapun sebahagian ulama tidak menghadkan hanya enam item ini sahaja sebagai barangan ribawi, tetapi item-item yang menjadi makanan ruji bagi sesuatu negara itu juga dikira sebagai item ribawi bagi negara itu sahaja. Ulama Kontemporari Qiyyaskan
  1. a.       Emas/Perak = matawang 
  2. Lain-lain item = makanan ruji bagi sesebuah negara. Contoh di Malaysia Beras barangan ribawi.

Contoh Beberapa Isu berkaitan Riba Dalam Kehidupan Kita :
  1. Beri pinjam wang RM1000 dengan syarat pulang RM1100.Lebihan RM100 itu dikira riba. Tetapi jika pemberi pinjam tidak mensyaratkan tetapi peminjam beri lebih, maka ia dianggap hibah (hadiah). Hibah digalakkan dalam Islam, tetapi tidak boleh dinyatakan semasa akad pinjaman.
  2.  Beri hadiah wang berjumlah RM100, dengan syarat kemudian hari beri hadiah semula dengan berjumlah RM120. Juga satu bentuk riba, walaupun istilahnya “Hadiah” kerana asasnya berupa pinjaman “wang” beserta faedah. 
  3. Tukar Handset atas dasar suka sama suka. Bukan riba kerana handset bukan barangan ribawi.
  4.  Beri pinjam kereta dengan syarat apabila pulang nanti kena isi minyak tangki penuh. Juga merupakan riba, kerana pemberi pinjam mengambil lebihan manfaat daripada pinjamannya. 
  5. Pengantin lelaki & perempuan bersetuju hantaran 7 dulang RM10 ribu balas 9 dulang RM13 ribu. Berlaku Syubhah Riba. Kalau tidak pakat berkaitan harga, harus. 
  6. Jualan barang tunai dengan harga RM100, bayaran bertangguh RM120, tidak dikatagorikan sebagai riba kerana Jumhur ulama (4 mazhab) mengiktiraf “Time Value of Money” : Dalam muamalat namanya Konsep “Murabahah Wa Muajjal.
 

SOALAN PELAJAR : 28/2/2012

Soalan :
Saya design baju, kemudian membuat tempahan di kedai dengan harga RM20 sehelai. Kemudian saya jual kepada rakan-rakan dengan harga RM25 sehelai. adakah dibenarkan?

Jawapan :
Hukumnya harus dan dibenarkan. ini termasuk muamalat yang biasa dan tidak mempunyai sebarang masalah di sisi agama.
Maksud Firman Allah :
 "...sesungguhnya Allah menghalalkan jual beli dan mengharamkan riba..." (Al-Baqarah : 275)
.......................
Soalan :
Adakah batal wudhuk seseorang lelaki jika menyentuh kuku dan rambut wanita yang bukan mahramnya. Contohnya suami menyentuh rambut dan kuku isteri.

Jawapan :
Tidak batal wudhuk kerana rambut dan kuku tidak dikatogorikan sebagai kulit. Yang jelas membatalkan wudhuk adalah apabila bersentuhan kulit.

Terdapat satu teka-teki yang dibuat-buat. Jika seorang suami dalam keadaan berwudhuk ingin menyelamatkan isterinya yang hampir jatuh ke dalam sungai, dimanakan bahagian yang boleh dipegang oleh si suami tanpa membatalkan wudhuknya? Jawapannya adalah rambut dan kuku.

Pandangan ustaz, teka teki ini agak mengarut. Sekiranya dalam keadaan dharurat, adalah lebih utama menyelamatkan isterinya dalam apa jua keadaan daripada menjaga wudhuk. Bukankan mengambil wudhuk semula lebih mudah daripada membiarkan isteri terjatuh dalam sungai?

Saturday, February 18, 2012

SOALAN PELAJAR : ADIK ANGKAT BERLAINAN JANTINA

Soalan :
Ustaz, apa hukum lelaki mengambil adik angkat perempuan?

Jawapan :
Pada pandangan Ustaz, hukumnya adalah haram dan ditegah sama sekali. Seseorang lelaki yang mengambil adik angkat perempuan sudah tentu mempunyai agenda lain di sebalik istilah "adik angkat" tersebut. Begitu juga perempuan yang mengambil adik angkat dari kalangan lelaki.

Jelas kepada kita Islam menggariskan batas-batas dalam hubungan di antara lelaki dan perempuan yang bukan mahram. Seseorang lelaki dan perempuan di tegah berdua-duaan atau sering bertemu tanpa urusan yang mustahak atau dalam perkara-perkara yang dharurat. 

Adapun seseorang yang mengambil adik angkat yang berlawanan jantina, hubungan "adik angkat" tersebut sudah tentu akan mendorong mereka selalu bertemu atau "berdating" dengan alasan mengambil berat atau bertanya hal-hal yang remeh temeh serta tidak meningkatkan keimanan. Dari pertemuan-pertemuan seperti ini, akan lahir pula perasaan rindu-rinduan yang mungkin akan membawa mereka lebih jauh lagi... Akhir Zaman...

Imam Al-Qurthubi menyatakan bahawa, suara wanita dikira aurat sekiranya berkata-kata dengan lelaki ajnabi tentang perkara-perkara yang sia-sia. Adapun perkara-perkara yang penting, ia tidak dikira aurat.

Seseorang lelaki adalah lebih utama mengambil adik angkat dari kalangan lelaki, begitu juga perempuan mengambil adik angkat dari kalangan perempuan.

Wallahu a'lam...

SOALAN PELAJAR : PURA PURA SEMBAH TUHAN LAIN

Soalan ini ditanya oleh pelajar ketika ustaz menyampaikan kuliah maghrib di surau sekolah pada 17/2/2012.
Soalan :
Assalamualaikum Ustaz, apa hukum menyembah tuhan lain dalam keadaan berpura-pura kerana terpaksa?

Jawapan :
Waalaikumussalam wa rahmatullah

Ustaz ingin menjawab persoalan ini berdasarkan apa yang berlaku kepada salah seorang sahabat Nabi SAW yang bernama Ammar bin Yasir.

Keluarga Ammar adalah dari kalangan hamba. Apabila kaum musyrikin Mekkah mengetahui Ammar sekeluarga beriman dengan ajaran Rasulullah, kaum musyrikin bertindak menyeksa dan membunuh mereka sekeluarga. Ibu dan bapa Ammar, iaitu Yasir dan Sumaiyyah di bunuh kerana mereka enggan berpaling dari ajaran Islam.

Manakala Ammar, apabila melihat kedua orang tuannya dibunuh di hadapan matanya dan beliau  pula diancam bunuh, beliau pun bertindak memenuhi apa yang dikehendaki oleh kaum musyrikin, iaitu menyebut nama berhala mereka. Oleh itu, kaum musyrikin pun melepaskan Ammar.

Selepas peristiwa ini, para sahabat bertanya kepada Rasulullah mengenai kedudukan Ammar, sama ada masih dikira Islam atau kafir. Maka Rasulullah menyatakan bahawa tidak dikira kafir kerana dalam keadaan dipaksa dan diancam bunuh.

Nah, dari cerita ini, anda sudah tentu mendapat jawapannya.

Wallahu a'lam...

Friday, February 17, 2012

SOALAN PELAJAR : BATAS AURAT LELAKI

Soalan :
Ustaz adakah pusat dan lutut diklasifikasikan sebagai aurat lelaki?

Jawapan :
Para ulama berbeza pandang mengenai batas aurat lelaki. Secara ringkasnya :
1. Pandangan Imam Syafii dan Imam Hanafi :
    Pusat dan lutut adalah aurat dan wajib ditutup. mereka berdalilkan Hadis :

عَنْ جَرْهَدٍ قَالَ : مَرَّ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ بِجَرْهَدٍ فِي الْمَسْجِدِ وَقَدْ انْكَشَفَ فَخِذُهُ فَقَال إِنَّ الْفَخِذَ عَوْرَةٌ
Dari  Jarhad beliau berkata : Nabi SAW melintasi Jarhad di masjid, sedangkan pehanya terselak, maka baginda bersabda : " Sesungguhnya peha itu aurat" (Shahih diriwayatkan Abu Daud No.3498, Ahmad No.15364, Tirmizi No. 2719)

2. Pandangan Imam Malik dan Imam Ahmad bin Hanbal
Aurat lelaki adalah qubul dan dubur sahaja, manakala selainnya bukanlah aurat.  Mereka berdalilkan Hadis Shahih Al-Bukhari No. 371 yang dibawakan oleh Anas bin Malik ketika di peperangkan Khaibar, Nabi SAW menyingkap sarung dari pehanya sehingga Anas terlihat peha Nabi SAW yang putih.

Walaubagaimanapun, pandangan yang terpilih di sisi ulama yang muktabar di antaranya Imam Al-Bukhari, Imam Al-Syaukani, Imam Ibnu Qayyim, dan Imam Al-Qurthubi bahawa, aurat lelaki adalah dari pusat hingga ke lutut. Penutupan aurat seperti ini adalah lebih sempurna di sisi pandangan masyarakat umum. Tanbahan pula, Hadis Jarhad di atas adalah lebih utama diamalkan kerana Hadis Qauliyyah (perkataan) lebih utama berbanding Hadis Fe'liyyah (perbuatan)
......................