Wednesday, August 29, 2012

Puasa Qadha, Puasa Sunat 6 Hari Di Bulan Syawal & Matematik…



Bolehkah menggabungkan puasa qadha Ramadhan dengan puasa sunat 6 hari bulan Syawal?


 ..
Kebanyakan masyarakat di Malaysia khususnya kaum wanita keliru dengan masalah menggabungkan puasa qadha/ganti Ramadhan dan puasa 6 hari di bulan Syawal. Lebih merumitkan keadaan, apabila ada sebahagian ustaz atau ustazah menyatakan bolehnya menggabungkan puasa qadha dan puasa sunat, dan ada sebahagian pula tidak membolehkannya. 
 ..

Penulis ada mendengar Ustaz Don Daniyal dalam rancangan 60 minit Ustaz Don sempena Raya menyatakan tercapainya pahala puasa 6 bagi wanita yang mengqadhakan puasa Ramadhan di dalam bulan Syawal. Menurut beliau, pandangan ini disokong oleh Syeikh Daud Fathani dalam kitabnya Furu’ Al-Masail.
(Sila rujuk kitab beliau). ..


Menurut satu sumber, Ustaz Abu Hasan Din Al-Hafiz menyatakan tercapainya pahala puasa 6 bagi wanita yang mengqadhakan puasa Ramadhan dalam bulan Syawal. Sila baca : http://keranakasihnabi.blogspot.com/2012/08/puasa-sunat-syawal-1-tanyalah-ustaz.html
 ..
 Manakala Dr. Zaharuddin Abdul Rahman menganggap adalah lebih baik tidak digabungkan. Sila baca : http://zaharuddin.net/fiqh-ibadah/96-a-isu-gabung-puasa-qadha-a-sunat-b-cara-ganti-puasa-berganda-ganda.html
 ..
Begitu juga jawapan yang diberikan oleh Jabatan Mufti Negeri Perlis, dan diperakui oleh Dr. Juanda Jaya, adalah lebih baik tidak menggabungkannya. Sila baca : http://mufti.perlis.gov.my/soal-jawab/187-hukum-gabung-puasa-qadha-dan-puasa-enam-syawal
 ..
Bagi pandangan peribadi penulis, pendapat yang menyatakan adalah lebih baik tidak menggabungkan puasa qadha dengan puasa sunat adalah lebih kuat  dan lebih utama untuk diamalkan daripada pendapat yang membolehkan penggabungan tersebut. 
 ..
KENAPA SAYA BERPENDAPAT DEMIKIAN?
 ..
Tidak menggabungkan puasa qadha dengan puasa sunat adalah lebih baik. Terdapat banyak hujah yang telah dikemukan oleh Dr. Zaharuddin Abdul Rahman dan Jabatan Mufti Negeri Perlis (Sila baca). Dalam tulisan ini penulis hanya ingin mengemukakan 1 hujah sahaja yang tidak dinyatakan oleh Dr. Zaharuddin & Jabatan Mufti Negeri Perlis. Hujah penulis dari sudut matamatik sahaja, dan ini bukanlah hujah konkrit, hanya sekadar pandangan penulis.
 ..
Al-Hafiz Ibnu Katsir dalam kitabnya Tafsir Al-Quran Al-Azhim (Tafsir Ibnu Katsir) menyatakan :
 ..
“Pada permulaan Islam, puasa dilakukan tiga hari pada setiap bulan. Kemudian hal itu dinasakh (dihapus) dengan puasa satu bulan penuh, iaitu pada bulan Ramadhan.. Diriwayatkan dari Mu’adz, Ibnu Mas’ud, Ibnu Abbas, ‘Atha’, Qatadah dan Adh-Dhahhak bin Muzahim, bahawa puasa itu pertama kali dijalankan seperti yang diwajibkan kepada umat-umat sebelumnya, iaitu tiga hari setiap bulan. Ditambah oleh Adh-Dhahhak, bahawa perlaksanaan puasa seperti itu masih tetap disyariatkan pada permulaan Islam sejak Nabi Nuh a.s sehinggalah Allah menasakhnya dengan puasa Ramadhan.” (Lihat Tafsir Ibnu Katsir Tafsir ayat 183 Surah Al-Baqarah)
 ..
Penjelasan
 ..
Kita sedia maklum bahawa dalam setahun ada 12 bulan, maka kiraan berpuasa di awal Islam sebelum disyariatkan puasa Ramadhan ialah :
12 bulan X 3 hari = 36 HARI PUASA.
..
Kemudian setelah turun ayat 183 Surah Al-Baqarah yang menfardhukan puasa di bulan Ramadhan. Lalu Rasulullah SAW menganjurkan kita berpuasa sunat 6 hari di bulan Syawal.
..
Maka apa relevannya Rasulullah SAW menganjurkan kita berpuasa sunat 6 hari di bulan Syawal sepertimana hadis daripada Abu Ayyub Al-Anshori, Nabi SAW bersabda :

مَنْ صَامَ رَمَضَانَ ثُمَّ أَتْبَعَهُ سِتًّا مِنْ شَوَّالٍ كَانَ صَامَ الدَّهْر

Maksudnya: "Barangsiapa yang berpuasa di bulan Ramadhan kemudian diikuti dengan puasa enam hari bulan Syawal maka seakan-akan ia berpuasa setahun". (HR Muslim No. 2758. 204-(1164), Abu Daud No. 2433, At-Tirmizi No. 759, Ibnu Majah No. 1716)
 ..
Pada pandangan penulis, relevannya Nabi SAW menganjurkan berpuasa sunat 6 hari pada bulan Syawal adalah untuk mencukupkan puasa kita 36 hari sepertimana jumlah disyariatkan sebelum datangnya perintah puasa Ramadhan. (Harap maklum bahawa adakalanya puasa Ramadhan 30 hari, adakalanya 29 hari sahaja).
 ..
30 hari puasa Ramadhan + 6 hari puasa sunat Syawal = 36 HARI PUASA
..
Justeru, bagi wanita yang tidak menyempurnakan puasa Ramadhannya, jika menggabungkan puasa qadha dengan puasa sunat Syawal, maka angka ini tidak akan tercapai. Sebagai contoh, dia perlu mengqadhakan 4 hari puasa ramadhan. Dia berpuasa di bulan Ramadhan hanya 26 hari, kemudian mengqadha 4 hari pada bulan Syawal, dan menambah lagi 2 hari puasa di bulan Syawal untuk mencukupkan bilangan 6 hari. Maka jumlah puasanya hanyalah 32 hari sahaja.
 ..
Untuk menguatkan lagi hujah ini, penulis membawakan satu lagi hadis :

‏ ‏عَنْ ‏ ‏أبي ذَرٍّ ‏ ‏قال ,‏قال رسول الله ‏ ‏صلى الله عليه وسلم ‏: ‏(مَنْ صَامَ مِنْ كُلِّ شَهْرٍ ثَلَاثَةَ أَيَّامٍ فَذَلِكَ صِيَامُ الدَّهْرِ) فَأَنْزَلَ اللهُ عز وجل تَصْدِيقَ ذَلِكَ فِي كِتَابِهِ ‏{مَنْ جَاءَ بِالحَسَنَةِ فَلَهُ عَشْرُ أَمْثَالِهَا} ‏اليَومُ بِعَشْرَةِ أَيَامٍ. ‏
 ..
Maksudnya : Daripada Abu Dzar r.a dia berkata, Rasulullah SAW bersabda : “Barangsiapa berpuasa tiga hari setiap bulan, maka itulah puasa satu tahun. Lalu Allah menurunkan pembenarannya di dalam kitab-Nya : {Barangsiapa membawa amal yang baik, maka baginya pahala sepuluh kali lipat} (Al-An’aam : 160). Satu hari senilai dengan sepuluh hari. (HR At-Tirmizi No. 762. At-Tirmizi menyatakan hadis ini Hasan Shahih. Hadis ini dinilai Shahih oleh Syeikh Muhammad Nasiruddin Al-Albani, lihat Shahih At-Targhib Wa At-Tarhib Hadis No. 1035. Juga diriwayatkan oelh Ahmad, An-Nasa’i, Ibnu Majah dan Ibnu Khuzaimah dalam Shahihnya)
 ..
Jelas kepada kita dalam setahun ada 365 hari (Masehi) atau sekitar 354 hari (Hijrah). Maka untuk mendapatkan pahala seolah-olah berpuasa selama setahun seperti yang dinyatakan dalam Hadis Riwayat Muslim di atas, maka perlulah kita mencukupkan puasa selama 36 hari.
 ..
36 hari puasa X 10 ganjaran = 360 hari puasa = 1 tahun puasa
..
Maka bagi yang tidak mencukupkan puasanya sebanyak 36 hari, tidak tercapailah pahala puasa sebanyak 360 hari sepertimana yang dinyatakan dalam Hadis Riwayat At-Tirmizi di atas.
 ..
Semoga penjelasan ini bermanfaat kepada semua…
 ..
Wallahu a’lam…
 ..
Zainul Ariff Husaini Bin Zainul Fuad
Rumah Warden SMS Johor
31 Ogos 2012
1.10 a.m.

2 comments:

  1. assalamualaikum ustaz.
    so, konklusi post ustz ni, krenye girlz yg x puase penuh buln ramadhan xleh satukn niat puase qada' n puase sunat 6 hari lar kn?kne abeskn qada' puase baru boleh ea?

    adakah puase sunat lain pn sme?

    ReplyDelete
  2. Waalaikumussalam...
    Ulama berselisih pendapat :
    i. perlu menghabiskan puasa qadha dahulu baru boleh puasa sunat
    ii. boleh bpuasa sunat syawal dulu kemudian qadha di bulan2 yg lain...
    Saya berpandangan, wanita yg terlalu banyak puasa yg perlu diganti bolehlah berpuasa sunat dahulu, kemudian berpuasa qadha di bulan2 yang lain.. Hal ini disokong oleh sebuat atsar yang shahih diriwayatkan oleh Imam Al-Bukhari dalam kitabnya Shahih Al-Bukhari No.1950 :
    Dari Aishah rah berkata "Aku berpuasa di bulan ramadhan dan aku tidak mengqadhakannya melainkan di bulan syaaban"

    Ibnu Hajar dalam kitabnya Fathul Baari Syarah Shahih Al-Bukhari menyatakan bahawa para ulama menyatakan mustahil Aisyah selaku isteri Nabi SAW tidak berpuasa sunat sama ada 6 hari syawal, 10 hari di bulan muharram dll.. maka di sini menunjukkan bolehnya mendahulukan puasa sunat dan tidak bolehnya menggabungkan puasa qadha dengan puasa sunat..

    Wallahu a'lam...

    ReplyDelete

Sila hantarkan maklumbalas anda...