Bolehkah menggabungkan puasa qadha Ramadhan dengan
puasa sunat 6 hari bulan Syawal?
..
Kebanyakan masyarakat di Malaysia khususnya kaum
wanita keliru dengan masalah menggabungkan puasa qadha/ganti Ramadhan dan puasa
6 hari di bulan Syawal. Lebih merumitkan keadaan, apabila ada sebahagian ustaz
atau ustazah menyatakan bolehnya menggabungkan puasa qadha dan puasa sunat, dan
ada sebahagian pula tidak membolehkannya.
..
Penulis ada mendengar Ustaz Don Daniyal dalam
rancangan 60 minit Ustaz Don sempena Raya menyatakan tercapainya pahala
puasa 6 bagi wanita yang mengqadhakan puasa Ramadhan di dalam bulan Syawal.
Menurut beliau, pandangan ini disokong oleh Syeikh Daud Fathani dalam kitabnya
Furu’ Al-Masail.
(Sila rujuk kitab beliau). ..
Menurut satu sumber, Ustaz Abu Hasan Din Al-Hafiz menyatakan tercapainya
pahala puasa 6 bagi wanita yang mengqadhakan puasa Ramadhan dalam bulan
Syawal. Sila baca : http://keranakasihnabi.blogspot.com/2012/08/puasa-sunat-syawal-1-tanyalah-ustaz.html
..
Manakala Dr. Zaharuddin Abdul Rahman menganggap adalah lebih
baik tidak digabungkan. Sila baca : http://zaharuddin.net/fiqh-ibadah/96-a-isu-gabung-puasa-qadha-a-sunat-b-cara-ganti-puasa-berganda-ganda.html
..
Begitu juga jawapan yang diberikan oleh Jabatan Mufti Negeri
Perlis, dan diperakui oleh Dr. Juanda Jaya, adalah lebih baik tidak
menggabungkannya. Sila baca : http://mufti.perlis.gov.my/soal-jawab/187-hukum-gabung-puasa-qadha-dan-puasa-enam-syawal
..
Bagi pandangan peribadi penulis, pendapat yang menyatakan adalah
lebih baik tidak menggabungkan puasa qadha dengan puasa sunat adalah lebih
kuat dan lebih utama untuk diamalkan daripada pendapat yang
membolehkan penggabungan tersebut.
..
KENAPA SAYA BERPENDAPAT DEMIKIAN?
..
Tidak menggabungkan puasa qadha dengan puasa sunat adalah lebih baik. Terdapat banyak hujah yang telah dikemukan oleh Dr. Zaharuddin
Abdul Rahman dan Jabatan Mufti Negeri Perlis (Sila baca). Dalam tulisan ini
penulis hanya ingin mengemukakan 1 hujah sahaja yang tidak dinyatakan oleh Dr.
Zaharuddin & Jabatan Mufti Negeri Perlis. Hujah penulis dari sudut matamatik
sahaja, dan ini bukanlah hujah konkrit, hanya sekadar pandangan penulis.
..
Al-Hafiz Ibnu Katsir dalam kitabnya Tafsir Al-Quran Al-Azhim
(Tafsir Ibnu Katsir) menyatakan :
..
“Pada permulaan Islam, puasa dilakukan tiga hari pada setiap
bulan. Kemudian hal itu dinasakh (dihapus) dengan puasa satu bulan penuh, iaitu
pada bulan Ramadhan.. Diriwayatkan dari Mu’adz, Ibnu Mas’ud, Ibnu Abbas, ‘Atha’,
Qatadah dan Adh-Dhahhak bin Muzahim, bahawa puasa itu pertama kali dijalankan
seperti yang diwajibkan kepada umat-umat sebelumnya, iaitu tiga hari setiap
bulan. Ditambah oleh Adh-Dhahhak, bahawa perlaksanaan puasa seperti itu masih
tetap disyariatkan pada permulaan Islam sejak Nabi Nuh a.s sehinggalah Allah
menasakhnya dengan puasa Ramadhan.” (Lihat Tafsir Ibnu Katsir Tafsir ayat 183
Surah Al-Baqarah)
..
Penjelasan
..
Kita sedia maklum bahawa dalam setahun ada 12 bulan, maka kiraan
berpuasa di awal Islam sebelum disyariatkan puasa Ramadhan ialah :
12 bulan X 3 hari = 36 HARI PUASA.
..
Kemudian setelah turun ayat 183 Surah Al-Baqarah yang menfardhukan puasa di bulan Ramadhan. Lalu Rasulullah SAW menganjurkan kita berpuasa sunat 6 hari di bulan Syawal.
..
Maka apa relevannya Rasulullah SAW menganjurkan kita berpuasa
sunat 6 hari di bulan Syawal sepertimana hadis daripada Abu
Ayyub Al-Anshori, Nabi SAW bersabda :
مَنْ صَامَ رَمَضَانَ ثُمَّ
أَتْبَعَهُ سِتًّا مِنْ شَوَّالٍ كَانَ صَامَ الدَّهْر
Maksudnya: "Barangsiapa yang berpuasa di bulan Ramadhan kemudian diikuti
dengan puasa enam hari bulan Syawal maka seakan-akan ia berpuasa setahun".
(HR Muslim No. 2758. 204-(1164), Abu Daud No. 2433, At-Tirmizi No. 759, Ibnu
Majah No. 1716)
..
Pada pandangan penulis, relevannya Nabi SAW menganjurkan
berpuasa sunat 6 hari pada bulan Syawal adalah untuk mencukupkan puasa kita 36
hari sepertimana jumlah disyariatkan sebelum datangnya perintah puasa Ramadhan. (Harap maklum bahawa adakalanya puasa Ramadhan 30 hari, adakalanya 29 hari sahaja).
..
30 hari puasa Ramadhan + 6 hari puasa sunat Syawal = 36 HARI
PUASA
..
Justeru, bagi wanita yang tidak menyempurnakan puasa
Ramadhannya, jika menggabungkan puasa qadha dengan puasa sunat Syawal, maka
angka ini tidak akan tercapai. Sebagai contoh, dia perlu mengqadhakan 4
hari puasa ramadhan. Dia berpuasa di bulan Ramadhan hanya 26 hari, kemudian
mengqadha 4 hari pada bulan Syawal, dan menambah lagi 2 hari puasa di bulan
Syawal untuk mencukupkan bilangan 6 hari. Maka jumlah puasanya hanyalah 32
hari sahaja.
..
Untuk menguatkan lagi hujah ini, penulis membawakan satu lagi
hadis :
عَنْ أبي ذَرٍّ قال ,قال رسول الله
صلى الله عليه وسلم : (مَنْ صَامَ مِنْ كُلِّ شَهْرٍ ثَلَاثَةَ أَيَّامٍ فَذَلِكَ
صِيَامُ الدَّهْرِ) فَأَنْزَلَ اللهُ عز وجل تَصْدِيقَ ذَلِكَ فِي كِتَابِهِ {مَنْ
جَاءَ بِالحَسَنَةِ فَلَهُ عَشْرُ أَمْثَالِهَا} اليَومُ بِعَشْرَةِ أَيَامٍ.
..
Maksudnya : Daripada Abu Dzar r.a dia berkata,
Rasulullah SAW bersabda : “Barangsiapa berpuasa tiga hari setiap bulan, maka
itulah puasa satu tahun. Lalu Allah menurunkan pembenarannya di dalam kitab-Nya
: {Barangsiapa membawa amal yang baik, maka baginya pahala sepuluh kali lipat}
(Al-An’aam : 160). Satu hari senilai dengan sepuluh hari. (HR
At-Tirmizi No. 762. At-Tirmizi menyatakan hadis ini Hasan Shahih. Hadis ini
dinilai Shahih oleh Syeikh Muhammad Nasiruddin Al-Albani, lihat Shahih At-Targhib
Wa At-Tarhib Hadis No. 1035. Juga diriwayatkan oelh Ahmad, An-Nasa’i, Ibnu
Majah dan Ibnu Khuzaimah dalam Shahihnya)
..
Jelas kepada kita dalam setahun ada 365 hari (Masehi)
atau sekitar 354 hari (Hijrah). Maka untuk mendapatkan pahala seolah-olah
berpuasa selama setahun seperti yang dinyatakan dalam Hadis Riwayat Muslim di
atas, maka perlulah kita mencukupkan puasa selama 36 hari.
..
36 hari puasa X 10 ganjaran = 360 hari puasa = 1
tahun puasa
..
Maka bagi yang tidak mencukupkan puasanya sebanyak 36
hari, tidak tercapailah pahala puasa sebanyak 360 hari sepertimana yang
dinyatakan dalam Hadis Riwayat At-Tirmizi di atas.
..
Semoga penjelasan ini bermanfaat kepada semua…
..
Wallahu a’lam…
..
Zainul Ariff Husaini Bin Zainul Fuad
Rumah Warden SMS Johor
31 Ogos 2012
1.10 a.m.