عن أَبِي أُمَامَةَ
يَقُولُ : قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ
وَسَلَّمَ ثَلَاثَةٌ لَا تُجَاوِزُ صَلَاتُهُمْ آذَانَهُمْ الْعَبْدُ الْآبِقُ حَتَّى
يَرْجِعَ وَامْرَأَةٌ بَاتَتْ وَزَوْجُهَا عَلَيْهَا سَاخِطٌ وَإِمَامُ قَوْمٍ وَهُمْ
لَهُ كَارِهُونَ
Maksudnya : Dari
Abu Umamah beliau berkata; "Rasulullah SAW bersabda: "Tiga orang yang
solatnya tidak akan melampaui telinga mereka; seorang hamba yang lari (dari
tuannya) hingga ia kembali, seorang isteri yang bermalam sementara suaminya
dalam keadaan marah, dan seorang imam bagi suatu kaum sedangkan mereka tidak
suka."
(Diriwayatkan oleh Imam At-Tirmizi dalam Kitab Jami’
At-Tirmizi, Bab Solat, Menjadi Imam Kepada Sesuatu Kaum, Tetapi Mereka Tidak
Menyukai Imam Tersebut, No. 360. Imam At-Tirmizi berkata; "Dari jalur ini,
hadith ini darjatnya hasan gharib)
Hadis ini
dinilai “Hasan” (boleh dijadikan hujjah) oleh Syeikh Muhammad Nasiruddin
Al-Albani dan ulama hadith yang lain.
Maksud “solatnya
tidak akan melampaui telinga mereka” : tidak diangkat atau tidak diterima
solat mereka”
Komentar Ahli
Ilmu mengenai “Seorang Imam Bagi Suatu Kaum Sedangkan Mereka Tidak Suka” :
- Dari Hilal bin Yasaf : “Hanyasanya yang dimaksud dalam hal ini adalah imam yang zalim, adapun para imam yang menegakkan sunnah maka dosanya adalah bagi orang membencinya". (At-Tirmizi No.359 dengan Isnad yang shahih).
- Sebahagian ahli ilmu memakruhkan seseorang mengimami suatu kaum sementara mereka tidak suka, namun jika imam tersebut bukan seorang yang zalim maka dosanya kembali kepada orang yang tidak suka kepadanya.
- Imam Ahmad dan Ishaq berpendapat, bahawa apabila orang yang tidak suka itu hanya satu, dua atau tiga saja, maka tidak apa-apa mengimami mereka kecuali yang tidak suka adalah orang banyak.
- Imam As-Syafie dalam kitabnya Al-Umm berpendapat; Adalah makruh seseorang yang mengimami solat padahal makmum tidak menyukainya. Manakala solat makmum adalah memadai (sah, tidak perlu mengulangi solat).Sekiranya yang menyukai imam ramai, manakala sedikit sahaja yang tidak menyukainya, maka tidaklah makruh.
Ulasan Penulis:
Jika seseorang
itu terkenal dengan sifat soleh, alim dan warak, lalu sebahagian orang tidak
menyukainya kerena penyakit yang ada di dalam hati mereka, maka yang perlu
diperbaiki di sini adalah orang yang berpenyakit hati itu tadi. Kerana selama
mana mereka membenci orang yang soleh itu menjadi imam, yang berdosa adalah
mereka yang membenci, bukan imam tersebut. Ini adalah pandangan Ahli Ilmu.
Adalah tidak
wajar sekiranya seseorang itu dibenci kerana kebaikannya, lalu orang ramai
tidak mahu mengangkatnya menjadi Imam. Sedangkan orang yang membenci itu
bukanlah dikalangan orang yang soleh, bahkan mereka adalah golongan yang fasiq.
Sebagai Muslim yang hidup bermasyarakat, seharusnya orang yang soleh ini
didampingi, dihormati dan dikasihi. Dengan sebab kita mendampingi orang yang
soleh, maka kebaikan mereka akan terkena kepada kita, InsyaAllah…
والله
أعلمُ بالصواب
Rujukan :
- Al-Imam Al-Hafiz Abi 'Isa Muhammad bin 'Isa At-Tirmizi, Jami' At-Tirmizi. Cetakan Dar As-Salam, Riyadh 2009.
- Al-Imam Al-Hafiz Abi Abdillah Muhammad bin Yazid Ibnu Majah, Sunan Ibnu Majah. Cetakan Dar As-Salam, Riyadh 2009.
- Al-Imam Asy-Syafi'i, Terjemahan Al-Umm. Penerbit Victory Agencie, Kuala Lumpur 2000.
No comments:
Post a Comment
Sila hantarkan maklumbalas anda...