Thursday, March 1, 2012

SOALAN PELAJAR : MENGAPA ALLAH GUNA KAMI DI DALAM AL-QURAN?

Sementara menunggu waktu maghrib petang tadi, di Surau Al-Ihsan SMSJ, seorang pelajar datang bertanya kepada ustaz :

Soalan :
Mengapa Allah menggunakan istilah "Kami" sebagai kata ganti diri-Nya di dalam Al-Quran?

Jawapan :
Perkataan "Kami" sebagai kata ganti nama Allah di dalam Al-Quran adalah menunjukkan kehebatan, kelebihan atau kekuasaan Allah SWT. Ia bukanlah bermaksud Allah itu lebih dari satu, kerana kita sedia maklum bahawa Allah itu Maha Esa.

Di dalam tatabahasa arab, (نحن) "Nahnu" bukan sahaja membawa maksud "Kami", tetapi juga membawa maksud Aku, Saya, Beta dll yang seangkatan dengannya. Ia diistilahkan sebagai (المتكلم المعظم لنفسه) "Al-Mutakallim Al-Mu'azhim Li Nafsihi" yang bermaksud "Yang bercakap (yakni Allah) membesarkan diri-Nya sendiri".Inilah salah satu keindahan dan keistimewaan yang ada pada bahasa Arab dan tidak ada pada bahasa-bahasa yang lain di dunia ini.

Masalah timbul apabila Al-Quran diterjemahkan ke dalam bahasa lain, contohnya dalam bahasa Melayu yang tidak ada keistimewaan ini, maka perkataan "Kami" terus diterjemahkan sebagai "Kami" yang  kita fahami dalam bahasa kita. Perlu ambil perhatian bahawa penterjemah tidak perlu menukarkan perkataan "Kami" kepada "Aku" di dalam terjemahan, kerana perkataan "Kami" menunjukkan "Kehebatan" Allah, tetapi para pembaca perlu meng"setting"kan dalam mindanya bahawa "Kami" di dalam Al-Quran merujuk kepada Allah Yang Satu, bukan bermaksud Allah Yang Ramai...

Contoh lain yang kita boleh lihat keistimewaan di dalam bahasa Arab, apabila kita memberi salam, sama ada kepada seorang atau ramai, kita tetap mengucapkan "Assalamualaikum" yang bermaksud "Salam sejahtera ke atas KAMU". Walaupun kepada seorang, kita tidak mengucapkan Assalamualaika/ki. Ini kerana kita memuliakan atau membesarkan orang yang kita beri salam kepadanya.

Wallahu a'lam..

No comments:

Post a Comment

Sila hantarkan maklumbalas anda...