Wednesday, August 8, 2012

Solat Sunnah Selepas Witir?

Ustaz ditanya oleh beberapa orang pelajar berkenaan bolehkah solat Tahajjud atau berqiamullail selepas melakukan solat witir.


Solat sunnah witir ialah solat sunnah yang dikerjakan sebagai penutup kepada solat malam atau qiamullail, dilakukan dalam jumlah bilangan rakaat yang ganjil seperti 1, 3, 5, 7, 9 dan 11. Rasulullah SAW memerintahkan kita agar mengakhiri solat malam kita dengan solat sunnah witir, sebagaimana hadis shahih yang diriwayatkan oleh Ibnu Umar r.a Nabi SAW bersabda:


اِجْعَلُوا آخِرَ صَلَاتِكُمْ بِاللَّيلِ وِتْرًا

Maksudnya : Jadikanlah akhir solat malam kamu dengan solat witir. (Mutaffaqun 'alaih, Al-Bukhari No. 998, Muslim No. 1755)

Justeru difahami di sini bahawa solat yang terakhir untuk dikerjakan ialah solat witir, kemudian tidak ada lagi solat sunnah selepas witir.

Dalam bulan ramadhan ini para pelajar SMSJ solat sunnah tarawih berjemaah di surau dan diakhiri dengan solat sunnah witir 3 rakaat. Kemudian dalam masa yang sama mereka bercita-cita untuk bangun di tengah malam mengerjakan Tahajjud dan Qiamullail. Adakah mereka boleh berqiamullail sedangkan mereka telah melakukan solat sunnah Witir?
...
Untuk mengupas persoalan ini, ustaz kemukakan pandangan-pandangan mazhab yang empat dalam persoalan solat sunnah witir agar kita dapat memahami perkara ini dengan jelas dan menambah maklumat serta pengetahuan ilmu agama.

Hukum Solat Sunnah Witir :

Solat sunnah witir adalah termasuk solat sunnah muakkad, yakni yang sangat dituntut dikerjakannya. Bahkan dalam mazhab Hanafiyyah menyatakan wajibnya solat sunnah witir, tetapi mereka yang meninggalkannya tidaklah dihukum kafir.

Manakala Imam Ahmad bin Hanbal menyatakan bahawa orang yang meninggalkan solat sunnah witir dengan sengaja termasuk dalam kalangan orang yang fasik dan kesaksian mereka tidak diterima (tidak boleh menjadi saksi dalam perkara-perkara yang memerlukan saksi).

Pandangan Mazhab Syafiiyyah, Malikiyyah dan Hanafiyyah :

Tidak ada halangan untuk melakukan solat sunnah lain (Tahajjud & lain-lain) selepas mengerjakan solat sunnah witir. Bagi Mazhab Syafiiyyah, bagi orang yang tidak yakin dapat bangun di akhir malam, maka hendaklah dia mengerjakan solat sunnah witir sebelum tidur. Kemudian sekiranya dia terjaga di akhir malam dan ingin melakukan tahujud, maka teruskan keinginannya tersebut dan tidak perlu mengulangi witirnya. Kerana Nabi SAW menjelaskan tidak ada dua witir dalam satu malam seperti hadis berikut :


لَا وِتْرَانِ فِي لَيْلَةٍ

Maksudnya : Tidak ada dua witir dalam satu malam. (Diriwayatkan oleh Abu Dawud No.1439 dengan sanad yang shahih. Juga dikeluarkan oleh Tirmidzi No. 470*, Nasa'i No. 1680, Ibnu Khuzaimah No. 1101 & Ibnu Hibban No. 671)

Adapun bagi orang yang berkeyakinan dia dapat bangun di tengah malam, maka yang afdhalnya dia melewatkan solat sunnah witir, iaitu melakukannya di akhir malam. Dalam hadis yang shahih yang diriwayatkan oleh Jabir r.a Nabi SAW bersabda :

 
مَنْ خَافَ أَنْ لَا يَقُومَ مِنْ آخِرِ اللَّيْلِ فَلْيُوْتِرْ أَوَّلَهُ, وَمَنْ طَمَعَ أَنْ يَقُومَ آخِرَهُ فَلْيُوْتِرْ آخِرَ اللَّيْلِ, فَإِنَّ صَلَاةَ آخِرِ اللَّيْلِ مَشْهُودَةٌ, وَذَلِكَ أَفْضَلُ.

Maksudnya : Barangsiapa yang khuatir tidak bangun di akhir malam, maka hendaklah dia berwitir di awal malam (sebelum tidur). Dan barangsiapa yang yakin dia bangun di akhir malam, maka berwitirlah di akhir malam. Sesungguhnya solat di akhir malam itu disaksikan (oleh para malaikat), dan itulah yang lebih utama. (Muslim No. 1766, Tirmizi 455, Ibnu Majah 1187)

Pandangan Mazhab Hanabilah (Mazhab Imam Ahmad bin Hanbal) :

Bagi mereka yang telah mengerjakan solat sunnah witir sebelum tidur, apabila dia terjaga di tengah malam dan ingin melakukan qiamullail, maka hendaklah dia melakukan solat sunnah witir satu rakaat terlebih dahulu untuk menggenapkan witirnya yang dilakukan sebelum tidur tadi. Kemudian di melakukan qiamulllail dan diakhirnya dia melakukan witir sekali lagi dalam bilangan yang ganjil. Mereka berpegang bahawa sunnahnya mengakhirkan solat sunnah malam dengan solat sunnah witir sepertimana hadis yang diriwayatkan oleh Ibnu Umar di atas.

 Ulama Hanabilah juga menyatakan jika seseorang melakukan solat bersama imam sehingga selesai solat witir, namun dia juga bercita-cita untuk melakukan witir lagi pada akhir malam, maka dia tidak perlu mengikuti salam imam. Dia perlu berdiri dan menambah satu rakaat lagi untuk menggenapkan solatnya bersama imam.

KESIMPULAN
Kita boleh memilih untuk berpegang kepada mana-mana pendapat, sama ada pendapat Mazhad Syafie dan lain-lain, atau Mazhab Hanbali yang sedikit berbeza dari mazhab lain. Apa yang penting kita melakukan ibadah atas dasar ilmu, bukan hanya ikut-ikutan.

Wallahu a'lam.

Rujukan :
  1. Fiqh Al-Islami Wa Adillatuhu (Terjemahan), Prof Dr. Wahbah Az-Zuhaili, Penerbit Gema Insani Cetakan 2010.
  2. Fathul Bari Bisyarah Shahih Al-Bukhari, Tahqiq Syeikh Abdul Aziz Bin Baaz dengan penomboran oleh Syeikh Muhammad Fuad bin Abdul Baqi', Penerbit  Dar As-Salam, Riyadh Cetakan 2000
  3. Shahih Muslim Bisyarh An-Nawawi, Tahqiq Mawaffaq Mar'iyy, Dar As-Salam, Riyadh Cetakan 2010.
  4. Sunan Abu Daud, Tahqiq Al-Hafidz Abu Thohir Zubair Ali Za'i, Penerbit Dar As-Salam Riyadh Cetakan 2009
  5. Jami' At-Tirmizi, Tahqiq Al-Hafidz Abu Thohir Zubair Ali Za'i, Penerbit Dar As-Salam Riyadh Cetakan 2009
  6. Sunan Ibnu Majah, Tahqiq Al-Hafidz Abu Thohir Zubair Ali Za'i, Penerbit Dar As-Salam Riyadh Cetakan 2009
  7. Shahih Ibnu Khuzaimah, Tahqiq Dr. Muhammad Musthofa Al-A'zhomi, Penerbit Maktabah Al-Islami Cetakan 2003

Kitab hadis di atas dirujuk untuk mengetahui nombor dan status hadis.

* Abu Isa At-Tirmidzi menyatakan hadis ini Hasan Gharib. Ahli Ilmu berselisih pendapat mengenai solat sunnah witir.
  1. Sebahagian Ahli ilmu dari kalangan Sahabat Nabi SAW menyatakan orang yang telah melakukan witir di awal malam, kemudian terjaga di akhir malam untuk melakukan solat sunnah (qiamullail), maka dia perlu solat witir 1 rakaat, kemudian mendirikan qiamullailnya, dan menutupnya semula dengan witir. Ini pendapat Ishaq
  2. Sebahagian Ahli Ilmu juga dari kalangan Sahabat Nabi SAW dan lain-lain, seseorang yang telah solat witir sebelum tidur, kemudian bangun di akhir malam untuk qiamullail, maka tidak perlu mengulangi witirnya. Ini adalah pandangan Sufian Ats-Tsauri, Malik bin Anas,  Ahmad, Ibnu Al-Mubarak, As-Syafie dan Ahli Kufah. Pandangan ini lebih Asah (Shahih) kerana terdapat riwayat yang menyatakan bahawa Nabi SAW pernah melakukan solat (qiamullail) selepas solat sunnah witir. (Jami' At-Tirmidzi muka surat 164)

Zainul Ariff Husaini Bin Zainul Fuad
Rumah Warden Asrama Putera
Sekolah Menengah Sains Johor.
8 Ogos 2012
3.55 p.m

Tuesday, July 17, 2012

Fiqh Sahur : Meneruskan Makan & Minum Ketika Azan Subuh

Ustaz ditanya oleh beberapa orang pelajar Tingkatan 4Sc3 berkenaaan puasa sunat dan makan sahur, ketika azan subuh sedang berkumandang, atau telah dikumandangkan. Situasinya boleh dibahagikan seperti berikut :
  1. Selesai makan, sejurus kemudian azan berkumandang,
  2. Sedang makan, tiba-tiba azan berkumandang,
  3. Sedang makan dan meneruskan makan sehingga azan tamat dikumandangkan,
  4. Azan telah tamat, tetapi sahur selepas azan dan mendakwa dirinya berpuasa.
Situasi nombor 1 sah puasanya, kerana dia bersahur sebelum terbit fajar, sedangkan azan itu menandakan terbitnya fajar. Sekiranya seseorang berasa ragu sama ada fajar sudah terbit atau belum, maka dia tetap dibolehkan makan dan minum sehinggalah benar-benar yakin bahawa fajar telah terbit (masuk waktu subuh). Keraguan tidak boleh dijadikan pegangan. Pernah seorang lelaki berkata kepada Ibnu Abbas r.a "Aku bersahur namun apabila aku ragu, aku terus berimsak (berhenti makan sahur)." Mendengar hal itu, Ibnu Abbas lalu berkata : "Makanlah selagi kamu masih ragu, hingga akhirnya kamu tidak ragu lagi!"

Situasi nombor 2, ada pendapat mengatakan bahawa perlu menghabiskan makanan di dalam mulut sahaja, adapun suapan seterusnya tidak dibolehkan lagi, walaupun seteguk air. Ingin ditegaskan di sini bahawa tidak ada dalil hadis yang shahih atau pendapat ulama yang membolehkan perkara ini, bahkan hal ini bercanggah dengan perintah Allah di dalam Al-Quran dan sunnah Rasulullah. Justeru, adalah tidak sah puasa jika seseorang itu masih mengunyah makanan sedang azan telah dikumandangkan. Yang terbaik adalah menjauhkan diri dari perkara yang samar. Justeru elakkan diri makan ketika waktu benar-benar hampir terbit fajar (azan subuh). Wallahu a'lam..

Situasi nombor 3 dan 4 puasanya tidak sah sama sekali. Yang jelas dia telah makan pada ketika telah terbit fajar.

Adapun salah faham berkenaan hadis Nabi SAW berniat puasa, sedang waktu subuh telah berlalu :

‏عن ‏ ‏عائشة ‏ ‏أم المؤمنين ‏ ‏قالت ‏دخل علي رسول الله ‏ ‏صلى الله عليه وسلم ‏ ‏ذات يوم فقال ‏ ‏هل عندكم شيء قلنا لا قال فإني صائم ‏ 

Dari Aisyah Ummu Mukminin berkata : Pada suatu hari Rasulullah SAW masuk kerumahku dan bertanya "Adakah kamu mempunyai makanan?" Kami menjawab "Tidak". Lalu baginda bersabda "Maka jika begitu aku berpuasa". (Diriwayatkan oleh Muslim dan Abu Daud)

Perlu diketahui di sini bahawa Nabi SAW ketika itu tidak makan sejak awal pagi lagi. Justeru ketika pulang kerumah, baginda mendapati bahawa makan tidak ada, maka baginda langsung berniat puasa sunat. Maka sekiranya kita telah makan sesudah terbit fajar, kemudian niat puasa, maka puasa itu sama sekali tidak sah.


Berikut ustaz naqalkan artikel berkenaan hadis-hadis cacat berkenaan puasa dari laman http://ansarul-hadis.blogspot.com/2011/07/penjelasan-status-hadith-fiqh-sahur.html

Semoga bermanfaat untuk semua pembaca...



Dikongsikan disini sebahagian daripada petikan isi buku saya "Hadith-Hadith Cacat Puasa", hadith no. 13-18, halaman 66 - 74 . Dalam buku ini saya berusaha mengumpulkan sebanyak mungkin hadith-hadith cacat berkenaan puasa, dan telah siap jilid pertama sebanyak 142 halaman yang telah selesai disemak oleh guru saya, sekarang saya sedang berusaha menyambung  jilid kedua dan dijangka akan mula disemak pada pertengahan Ramadhan 1432H, secara keseluruhannya setakat ini buku ini (jilid pertama dan jilid kedua) telah mencecah lebih 200 halaman, alhamdulilLah. Saya bercadang untuk mencetaknya atas cadangan para sahabat, moga dimudahkanNya urusan.



Hadith no. 13: 


#         Matan Hadith:


إذا سمع أحدكم النداء والإناء على يده، فلا يضعه حتى يقضي حاجته منه


Apabila salah seorang daripada kamu yang mendengar azan dan pinggan masih ada di tangan, janganlah diletakkan sehingga ia menunaikan hajatnya

#         Takhrij:

Dikeluarkan oleh Ahmad (10629), Abu Daud (2350) dan lain-lain, daripada Abu Hurairah

#         Status:

Tidak Sahih. Dicacatkan oleh Imam Abu Hatim Al-Razi dan lain-lain.

Kata Imam Abu Hatim[1]: Tidak sahih / ليس بصحيح 

Kata Syaikh ‘Abdul ‘Aziz Al-Tarifi[2]:

Ia diingkari Abu Hatim / أنكره أبو حاتم

Kata beliau lagi[3]: “Ia jelas bercanggah dengan apa yang dibawa oleh Rasulullah SAW untuk menyegerakan menahan diri apabila azan berkumandang”.

Kata beliau lagi: “Oleh itu, perkara ini (hukum hakam menjamah makan ketika azan berkumandang) adalah jatuh hukumnya seperti asal (iaitu bersegera menahan diri apabila azan berkumandang), Walaupun ada yang mengatakan adanya hadith melalui jalan jalan Muhammad bin ‘Amru daripada Abu Salamah. Tetapi ia hanya andaian semata kerana jazamnya Abu Hatim mengatakan hadith mengenai perkara ini adalah Tertolak seperti dinyatakan dalam kitab ‘Ilalnya.

Perkara ini adalah jelas bercanggah dengan anjuran di dalam ayat Al-Qur’an untuk menahan diri apabila jelas kelihatan siang (azan berkumandang). Dan sekiranyanya seseorang menjamah makanan lagi ketika azan berkumandang, maka sudah pasti ia hendaklah mengganti 
puasanya”






Hadith no. 14: 

#         Matan Hadith:


عَنْ عَبْدِ اللهِ بْنِ مَعْقِلٍ، عَنْ بِلَالٍ، قَالَ: أَتَيْتُ رَسُولَ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أُوذِنُهُ بِالصَّلَاةِ وَهُوَ يُرِيدُ الصِّيَامَ، فَشَرِبَ، ثُمَّ نَاوَلَنِي وَخَرَجَ إِلَى الصَّلَاةِ


Daripada ‘Abdullah bin Ma‘qil daripada Bilal berkata: Aku mendatangi Rasulullah SAW untuk azan solat, dan Baginda ingin berpuasa, Baginda minum kemudian menyerahkan kepada saya, dan keluar untuk solat

#         Takhrij:

Dikeluarkan oleh Ahmad (23889, 23895) daripada ‘Abdullah bin Ma‘qil daripada Bilal.

#         Status:

Dha‘if, bahkan Munkar.

Walaupun jika dilihat daripada segi sanad, didapati kesemua rawi hadith ini adalah thiqat, akan tetapi sebenarnya ia cacat kerana ‘Abdullah bin Ma‘qil tidak mendengar daripada Bilal. Maka sanadnya putus.

Menurut Syaikh Al-Muhaddith ‘Abdul ‘Aziz Al-Tarifi[4]: “Ia Munkar, kerana ‘Abdullah bin Ma‘qil…tidak mendengar daripada Bilal”

Begitu juga Syaikh Al-Muhaddith Syu‘aib Al-Arna’ut[5], katanya: “Rijal[6]-rijal nya adalah rijal Syaikhan[7], kecuali sesungguhnya ‘Abdullah bin Ma‘qil tidak diketahui mendengar daripada Bilal”



Hadith no. 15: 

#         Matan Hadith:


عَنْ شَدَّادٍ، مَوْلَى عِيَاضِ بْنِ عَامِرٍ، عَنْ بِلَالٍ أَنَّهُ جَاءَ إِلَى النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يُؤْذِنُهُ بِالصَّلَاةِ فَوَجَدَهُ يَتَسَحَّرُ فِي مَسْجِدِ بَيْتِهِ


Daripada Syaddad maula ‘Iyadh bin ‘Amir, daripada Bilal: Dia datang kepada Nabi SAW untuk azan solat, mendapati Baginda sedang bersahur di masjid rumahnya

#         Takhrij:

Dikeluarkan oleh Ahmad (23901) daripada Syaddad daripada Bilal.

#         Status:

Dha‘if, bahkan Munkar

Kata Syaikh ‘Abdul ‘Aziz Al-Tarifi[8]: “Ia Munkar, kerana Syadad tidak mendengar daripada Bilal”

Dan kata Syaikh Syu‘aib Al-Arna’ut[9]: “Isnadnya dha‘if kerana jahalah[10]nya Syaddad maula ‘Iyadh, ditambah pula ia munqati‘[11] kerana Syaddad tidak bertemu Bilal”



Hadith no. 16:

#         Matan Hadith:


عن أبي غالب، عن أبي أمامة قال: أقيمت الصلاة والإناءُ في يد عمر، قال: أشرَبُها يا رسول الله؟ قال: نعم!، فشربها


Daripada Abu Ghalib, daripada Abu Umamah berkata: Telah dikumandangkan iqamah solat, ketika itu di tangan ‘Umar masih ada gelas, dia berkata: 'Boleh aku meminumnya ya Rasulullah SAW?' Rasulullah SAW bersabda: "Ya minumlah"


#         Takhrij:

Dikeluarkan oleh Ibn Jarir Al-Tabari dalam Tafsirnya (no. 3017)

#         Status:

Tidak sahih, Abu Ghalib didha‘ifkan oleh ramai nuqqad seperti Imam Abu Hatim, Al-Nasa’i, Ibn Sa‘d, Ibn Hibban dan lain-lain[12]




Hadith no. 17: 

#         Matan Hadith:


حَدَّثَنَا ابْنُ لَهِيعَةَ، عَنْ أَبِي الزُّبَيْرِ، قَالَ: سَأَلْتُ جَابِرًا عَنِ الرَّجُلِ يُرِيدُ الصِّيَامَ وَالْإِنَاءُ عَلَى يَدِهِ لِيَشْرَبَ مِنْهُ، فَيَسْمَعُ النِّدَاءَ، قَالَ جَابِرٌ: كُنَّا نُحَدَّثُ أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ: "لِيَشْرَبْ"


Menceritakan kami Ibn Lahi‘ah, daripada Abu Zubair, saya bertanya Jabir tentang seorang lelaki yang hendak berpuasa dan bekas minuman masih berada di tangannya untuk diminum, lalu dia mendengar azan (subuh). Jabir berkata; kami telah menceritakan bahawa Nabi SAW bersabda: "Hendaklah dia meminumnya"

#         Takhrij:

Dikeluarkan Ahmad (no. 14755) daripada Ibn Lahi‘ah daripada Abu Zubair

#         Status:

Isnad Dha‘if, kerana dha‘if nya Ibn Lahi‘ah

Kata Syaikh Al-Muhaddith ‘Abdul ‘Aziz Al-Tarifi: “Pada isnad hadith ini adanya ‘Abdullah Ibn Lahi‘ah dan dia dha‘if”[13]

Kata Syaikh Al-Muhaddith Dr. ‘Umar ‘Abdullah Al-Muqbil: “Isnad ini dha‘if berikutan Ibn Lahi‘ah…”[14]




Hadith no. 18: 

#         Matan Hadith:


مطيع بن راشد حدثني توبة العنبري: أنه سمع أنس بن مالك يقول: قال رَسُول اللهِ صلى الله عليه وسلم: انظر من في المسجد فادعه فدخلت، يعني: المسجد فإذا أبو بكر وعمر رضى الله عنهما فدعوتهما فأتيته بشيء فوضعته بين يديه فأكل وأكلوا، ثم خرجوا فصلى بهم رسول الله صلى الله عليه وسلم صلاة الغداة


Muthi’ bin Rasyid: Telah bercerita kepada saya Tawbah Al-‘Anbari, bahawasanya dia telah mendengar Anas bin Malik, dia berkata: Telah berkata Rasulullah SAW: «Lihatlah siapa di dalam masjid dan panggillah ia». Maka saya pun telah masuk – iaitu masjid – dan terdapat Abu Bakr dan ‘Umar, maka saya pun telah memanggil mereka berdua. Kemudian saya telah mendatanginya dengan sesuatu dan saya telah meletaknya di hadapannya, maka dia makan dan mereka pun makan. Kemudian mereka keluar dan Rasulullah telah bersolat bersama mereka solat Subuh.

#         Takhrij:

Dikeluarkan oleh Al-Bazzar dalam Musnadnya (no. 7410) daripada Muthi’ bin Rasyid, daripada Tawbah Al-‘Anbari daripada Anas.

#         Status:

Tidak sahih, dicacatkan (di‘ilalkan) oleh Imam Al-Bazzar sendiri.

Kata Imam Al-Bazzar:

ولا نعلم أسند توبة العنبري، عَن أَنَس إلاَّ هذين الحديثين، ولا رواهما عنه إلاَّ مطيع بن راشد

“Dan tidak kami ketahuï Tawbah Al-‘Anbari telah membuat sanad, daripada Anas, melainkan dua hadith ini, dan tidak meriwayatkan kedua-duanya daripadanya melainkan Muthi‘ bin Rasyid”[15]

Bahkan kata Dr. ‘Umar ‘Abdullah Al-Muqbil setelah menyebutkan kata-kata Imam Al-Bazzar di atas: “… dan Muthi‘ bin Rasyid keadaannya “tidak diketahui (tidak dikenali)” seperti yang dijelaskan oleh Al-Zahabi dalam Al-Mizan[16], dan dalam Al-Taqrib dia dinilai (oleh Ibn Hajar) sebagai “Maqbul”[17] [18], dan dia bersama-sama dha‘ifnya turut bersendirian (tafarrud) daripada Tawbah Al-‘Anbari[19]

Bahkan kata Syaikh Basyar ‘Awwad Ma‘ruf & Syaikh Syu‘aib Al-Arna’ut tentangnya: Majhul (tidak dikenali)!


Fiqh al-Hadith: 


Berkata Fathi al-Sakandary: amalan tetap menjamah makanan ketika azan subuh adalah jelas bercanggah dengan apa yang dibawa oleh Rasulullah SAW untuk menyegerakan menahan diri apabila azan berkumandang. Oleh itu hukum hakam menjamah makan ketika azan berkumandang adalah jatuh hukumnya seperti asal iaitu bersegera menahan diri apabila azan berkumandang

Maka dengan lemah dan munkar hadith-hadith diatas, maka jelas lah bahawa amalan tetap menjamah makanan ketika azan subuh ini adalah jelas bercanggah dengan anjuran di dalam ayat Al-Qur’an untuk menahan diri apabila jelas kelihatan siang (azan berkumandang). Dan sekiranyanya seseorang menjamah makanan lagi ketika azan berkumandang, maka sudah pasti ia hendaklah mengganti 
puasanya. 

Ikuti fatwa Syaikh Soleh al-Uthaimin dan Syaikh Abdul Aziz Ibn Baaz akan hal ini disini: http://ansarul-hadis.blogspot.com/2011/08/syaikhain-ibn-al-uthaimin-ibn-baaz.html



[1] Al-‘Ilal Ibn Abi Hatim, no. 340, 759

[2] Zawa’id Sunan Abi Daud ‘Ala Al-Sahihayn, Al-Tarifi, no. 2350

[3] Dalam kuliahnya “أحاديث الصيام المعلة”, dan komentar ini juga adalah termasuk untuk hadith no. 5, 6, 7, 8, 9 yang akan ditakhrij nanti

[4] Dalam kuliahnya أحاديث الصيام المعلة

[5] Dalam tahqiqnya ke atas Musnad Ahmad, no. 23889

[6] Rijal: iaitu perawi hadith dalam rantaian sanad

[7] Syaikhan: bermaksud “dua orang Syaikh” iaitu imam Al-Bukhari dan Imam Muslim

[8] Dalam kuliahnya أحاديث الصيام المعلة

[9]Dalam tahqiqnya ke atas Musnad Ahmad, no. 23901

[10] Jahalah: iaitu “majhul”/ “tidak diketahui keadaannya”, sanad yang mempunyai rawi yang majhul kebiasannya adalah dha‘if, namun terdapat juga kadang-kadang dan sebilangan kecil hadith yang rawinya adalah majhul tetapi hadith itu memang Sahih, dan ini hanya dapat dikenal pasti oleh imam-imam hadith pada kurun yang awal (mutaqaddimin) berdasarkan qara’in-qara’in (petunjuk) muktabar yang hanya mereka ketahui dengan jelas, dan ini adalah mazhab kebanyakan daripada Kibar Al-Huffaz dan A’immah Al-Hadith. Contohnya ‘Abdullah bin Muhammad bin Ma’nin, beliau adalah majhul dan hadithnya dikeluarkan oleh Imam Muslim dalam Sahihnya, penjelasan lanjut beserta contoh-contoh dalam hal ini saya anjurkan membaca kajian oleh Syaikh Al-Muhaddith ‘Abullah bin ‘AbdulRahman Al-Sa‘d bertajuk: “Jahalah Al-Rawi / جهالة الراوي

[11] Munqati‘: iaitu “putus”, sanad yang putus adalah ‘illah (kecacatan) kepada hadith kerana antara syarat asas Sahihnya hadith adalah “bersambungnya sanad (al-ittisol)”, kata Syaikhuna Al-Muhaddith Dr. AbulHarith Mahir Yasin Al-Fahl: “sesungguhnya syarat awal yang disyaratkan oleh para ahli hadith untuk sahihnya hadith adalah Al-Ittisol (bersambungnya sanad), setiap hadith yang tertinggal syarat ini maka hukum asalnya adalah dha‘if, kecuali jika ia dikuatkan dengan petunjuk-petunjuk lain” (Athar ‘Ilal Al-Hadith, m/ s 61).

Putusnya sanad pada hadith ada beberapa jenis berdasarkan tempat di mana ia putus (‘Ulum Al-Hadith, Ibn Solah, 20, 47, 51, 54):

Jika ia putus pada awal sanad dinamakan: Mu‘allaq
Jika ia putus pada akhir sanad dinamakan: Mursal (lanjut rujuk nota kaki no. 48)
Jika ia putus pada tengahnya satu rawi dinamakan: Munqati‘
Jika ia putus pada pertengahannya dua rawi dinamakan: Mu‘dhal

Juga jika pada sanadnya ada rawi yang mudallis (rawi yang dikenal suka melakukan Tadlis, iaitu “menyembunyikan”, contoh: menyembunyikan isnad (Tadlis Al-Isnad) dan tidak sarih (jelas) bahawa dia mendengar, maka ditakuti jatuhnya (tertinggalnya) rawi yang dia sembunyikan, maka bagi hadith ini hukumnya putus (inqitha’) juga.

[12] Rujuk: Tahrir Taqrib Al-Tahzib, no. 8298, hadith ini turut didha‘ifkan Syaikh ‘Abdul ‘Aziz Al-Tarifi dalam kuliahnya أحاديث الصيام المعلة kerana Abu Ghalib.

[13] Dalam kuliahnya أحاديث الصيام المعلة

[14] Dalam fatwa beliau dalam web islamtoday.net

[15] Bermaksud Muthi‘ telah bersendirian (tafarrud) dalam riwayat ini, dan kata-kata ini adalah pendha‘ifan oleh Imam Al-Bazzar, terdapat banyak contoh daripada kalam-kalam para huffaz yang meng‘ilalkan hadith kerana tafarrud, seperti kata-kata mereka (bersendiriannya si fulan dengan hadith ini/ تفرد به فلان ), (tidak diikuti padanya / لا يتابع عليه), dan kesemua ibarat-ibarat ini adalah ‘illah (kecacatan) yang kebanyakannya menyebabkan dha‘if nya hadith itu (lanjut rujuk: Syarh Lughah Al-Muhaddith, Syaikh Al-Muhaddith Tariq ‘Iwadullah, hal. 321)

[16] Kata Al-Zahabi tentangnya: “tidak dikenali / لا يعرف “, Mizan Al-‘Itidal, rawi no. 8599

[17] Rujuk Al-Taqrib, rawi no. 6717, bahkan kata Syaikh Basyar dan Syaikh Syu‘aib tentangnya: Majhul (tidak dikenali)! (Tahrir Taqrib Al-Tahzib, no. 6717)

[18] Maqbul dalam Al-Taqrib: seperti yang dijelaskan oleh Ibn Hajar dalam muqaddimah kitab Al-Taqrib, perlu diketahui bahawa rawi-rawi yang dinilai “maqbul” oleh Ibn Hajar diterima kalau jika ada yang mendukung, jika tidak maka lemah hadithnya, kebanyakan kata ini beliau sifatkan kepada rawi yang majhul (tidak diketahui keadaannya), maka sebab itulah kata Syaikh Basyar dan Syaikh Syu‘aib tentangnya: Majhul (tidak dikenali)!

[19] Sebagaimana yang telah dijelaskan oleh Imam Al-Bazzar sendiri (Musnad, no. 7410)

Monday, July 16, 2012

Dalil Tasbih Kifarah Penutup Majlis


Tasbih kifarah dibacakan setelah selesai sesuatu majlis, sama ada majlis ilmu, mesyuarat, kelas dan sebagainya. Tujuannya adalah untuk memohon ampun kepada Allah sekiranya sepanjang majlis tersebut berlakunya cacat ataupun kekurangan yang boleh mendatangkan dosa. Bacaan doa ini adalah disyariatkan dan dianjurkan oleh Rasulullah SAW sepertimana hadith berikut :


عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مَنْ جَلَسَ فِي مَجْلِسٍ فَكَثُرَ فِيهِ لَغَطُهُ فَقَالَ قَبْلَ أَنْ يَقُومَ مِنْ مَجْلِسِهِ ذَلِكَ سُبْحَانَكَ اللَّهُمَّ وَبِحَمْدِكَ أَشْهَدُ أَنْ لَا إِلَهَ إِلَّا أَنْتَ أَسْتَغْفِرُكَ وَأَتُوبُ إِلَيْكَ إِلَّا غُفِرَ لَهُ مَا كَانَ فِي مَجْلِسِهِ ذَلِكَ

قَالَ أَبُو عِيسَى هَذَا حَدِيثٌ حَسَنٌ صَحِيحٌ غَرِيبٌ مِنْ هَذَا الْوَجْهِ لَا نَعْرِفُهُ مِنْ حَدِيثِ سُهَيْلٍ إِلَّا مِنْ هَذَا الْوَجْهِ

Maksudnya : Dari Abu Hurairah, beliau berkata; Rasulullah SAW bersabda: "Barangsiapa yang duduk dalam sebuah majlis dan banyak kekecohan (huru-hara) padanya kemudian sebelum berdiri dia mengucapkan “SUBHAANAKALLAAHUMMA WA BIHAMDIKA ASYHADU ANLAA ILAAHA ILLAA ANTA ASTAGHFIRUKA WA ATUUBU ILAIKA” (Maha Suci Engkau wahai Allah, dan dengan memujiMu, aku bersaksi bahawa tidak ada Tuhan yang berhak di sembah melainkan Engkau, aku meminta ampun dan bertaubat kepadaMu) melainkan diampuni dosanya selama di majlisnya itu." 

Ulasan Abu Isa At-Tirmizi :
Hadits ini adalah hadits hasan shahih gharib dari sisi ini. Kami tidak mengetahuinya dari hadits Suhail kecuali dari jalur ini.

Darjat Hadith :
Dinilai Shahih oleh Syeikh Muhammad Nasiruddin Al-Albani dan Al-Hafiz Abu Thohir Zubair ‘Ali Za’i.

Sumber Hadith :
     At-Tirmizi dalam Jami’ At-Tirmizi, Kitab Doa, Bab Apa yang Perlu Diucapkan Ketika Keluar Dari Majlis, No. 3433.

      Takhrij Hadith dari kitab lain : 
  1. Sunan An-Nasa’i Bab Amalan Siang dan Malam, No. 397 
  2. Shahih Ibnu Hibban No. 2366 
  3. Mustadrak Al-Hakim 1/536 
  4. Sunan Abu Daud No. 4859
Walaubagaimanapun, penulis hanya mendapati hanya setakat bacaan ini sahaja. Adapun penambahan bacaan Surah Al-Asr (Demi Masa), penulis belum menemukan dalilnya.

Wallhu a'lam...

Zainul Ariff Husaini bin Zainul Fuad
8.13 a.m
17 Julai 2012
Sekolah Menengah Sains Johor.