Thursday, June 21, 2012

JIKA SESEORANG ITU TIDAK DISUKAI OLEH KAUMNYA, ADAKAH DIA BOLEH MENJADI IMAM KEPADA MEREKA?

Ada beberapa orang pelajar bertanya ustaz mengenai imam yang tidak disukai mereka, berikut jawapan lengkap ustaz hasil rujukan dari beberapa kitab. artikel ini juga dikeluarkan dalam Nur Jumaat siri 5/2012 bertarikh 22 Jun 2012.




عن أَبِي أُمَامَةَ يَقُولُ : قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ثَلَاثَةٌ لَا تُجَاوِزُ صَلَاتُهُمْ آذَانَهُمْ الْعَبْدُ الْآبِقُ حَتَّى يَرْجِعَ وَامْرَأَةٌ بَاتَتْ وَزَوْجُهَا عَلَيْهَا سَاخِطٌ وَإِمَامُ قَوْمٍ وَهُمْ لَهُ كَارِهُونَ
Maksudnya : Dari Abu Umamah beliau berkata; "Rasulullah SAW bersabda: "Tiga orang yang solatnya tidak akan melampaui telinga mereka; seorang hamba yang lari (dari tuannya) hingga ia kembali, seorang isteri yang bermalam sementara suaminya dalam keadaan marah, dan seorang imam bagi suatu kaum sedangkan mereka tidak suka."
  
(Diriwayatkan oleh Imam At-Tirmizi dalam Kitab Jami’ At-Tirmizi, Bab Solat, Menjadi Imam Kepada Sesuatu Kaum, Tetapi Mereka Tidak Menyukai Imam Tersebut, No. 360. Imam At-Tirmizi berkata; "Dari jalur ini, hadith ini darjatnya hasan gharib)
Hadis ini dinilai “Hasan” (boleh dijadikan hujjah) oleh Syeikh Muhammad Nasiruddin Al-Albani dan ulama hadith yang lain. 
Maksud “solatnya tidak akan melampaui telinga mereka” : tidak diangkat atau tidak diterima solat mereka”
Komentar Ahli Ilmu mengenai “Seorang Imam Bagi Suatu Kaum Sedangkan Mereka Tidak Suka” :
  1. Dari Hilal bin Yasaf : “Hanyasanya yang dimaksud dalam hal ini adalah imam yang zalim, adapun para imam yang menegakkan sunnah maka dosanya adalah bagi orang membencinya".  (At-Tirmizi No.359 dengan Isnad yang shahih).
  2. Sebahagian ahli ilmu memakruhkan seseorang mengimami suatu kaum sementara mereka tidak suka, namun jika imam tersebut bukan seorang yang zalim maka dosanya kembali kepada orang yang tidak suka kepadanya.
  3. Imam Ahmad dan Ishaq berpendapat, bahawa apabila orang yang tidak suka itu hanya satu, dua atau tiga saja, maka tidak apa-apa mengimami mereka kecuali yang tidak suka adalah orang banyak.
  4. Imam As-Syafie dalam kitabnya Al-Umm berpendapat; Adalah makruh seseorang yang mengimami solat padahal makmum tidak menyukainya. Manakala solat makmum adalah memadai (sah, tidak perlu mengulangi solat).Sekiranya yang menyukai imam ramai, manakala sedikit sahaja yang tidak menyukainya, maka tidaklah makruh.
Ulasan Penulis:
Jika seseorang itu terkenal dengan sifat soleh, alim dan warak, lalu sebahagian orang tidak menyukainya kerena penyakit yang ada di dalam hati mereka, maka yang perlu diperbaiki di sini adalah orang yang berpenyakit hati itu tadi. Kerana selama mana mereka membenci orang yang soleh itu menjadi imam, yang berdosa adalah mereka yang membenci, bukan imam tersebut. Ini adalah pandangan Ahli Ilmu.
Adalah tidak wajar sekiranya seseorang itu dibenci kerana kebaikannya, lalu orang ramai tidak mahu mengangkatnya menjadi Imam. Sedangkan orang yang membenci itu bukanlah dikalangan orang yang soleh, bahkan mereka adalah golongan yang fasiq. Sebagai Muslim yang hidup bermasyarakat, seharusnya orang yang soleh ini didampingi, dihormati dan dikasihi. Dengan sebab kita mendampingi orang yang soleh, maka kebaikan mereka akan terkena kepada kita, InsyaAllah…
والله أعلمُ بالصواب

Rujukan :
  1. Al-Imam Al-Hafiz Abi 'Isa Muhammad bin 'Isa At-Tirmizi, Jami' At-Tirmizi. Cetakan Dar As-Salam, Riyadh 2009.
  2. Al-Imam Al-Hafiz Abi Abdillah Muhammad bin Yazid Ibnu Majah, Sunan Ibnu Majah. Cetakan Dar As-Salam, Riyadh 2009.
  3. Al-Imam Asy-Syafi'i, Terjemahan Al-Umm. Penerbit Victory Agencie, Kuala Lumpur 2000.