Wednesday, May 23, 2012

Persoalan Puasa Di Bulan Rejab


Bulan Rejab telah tiba, maka berduyun-duyun pelajar SMSJ berpuasa sunat sempena bulan Rejab. Ada juga pelajar bertanya kepada ustaz berkaitan kelebihan puasa di bulan Rejab ni. Maka oleh sebab itu, sukalah ustaz menjelaskan perkara ini dalam blog yang lama terbengkalai ni..

Tidak ada sebarang larangan sama ada di dalam Al-Quran, Hadis mahupun ulamak-ulamak dulu dan sekarang, berpuasa pada bulan Rejab. Kerana sunnah Nabi SAW berpuasa setiap Isnin dan Khamis dan tiga hari setiap bulan tanpa ada pengecualian pada bulan-bulan tertentu (kecuali jika Isnin & Khamis jatuh pada hari yang diharamkan atau hari syak).

Persoalanya ialah, adakah hadis-hadis yang menjelaskan kelebihan berpuasa pada bulan Rejab ini dengan jumlah hari tertentu benar datangnya dari Rasulullah SAW? ikuti penjelasan berikut...

Tidak dinafikan bahawa Rejab termasuk bulan yang diharamkan berperang di dalamnya, perkara ini dijelaskan oleh Allah di dalam Al-Quran :

"Sesungguhnya bilangan bulan di sisi Allah ialah dua belas bulan, dalam ketetapan Allah di waktu Allah menciptakan langit dan bumi, di antaranya empat bulan haram..." (At-Taubah : 36)

Dalam ayat ini, Allah hanya menyebutkan "diantaranya empat bulan haram".. adapun bulan-bulan itu dijelaskan oleh nabi di dalam hadisnya :

Al-Hafiz Ibnu Kathir dalam kitabnya "Tafsir Al-Quran Al-Azim" atau lebih dikenali "Tafsir Ibnu Kathir" membawakan satu hadis yang menjelaskan bulan-bulan yang dimaksudkan oleh Allah dalam surah at-Taubah di atas :

"Tiga berturutan; Zulkaedah, Zulhijjah dan Muharram, serta Rejab Mudharr yang berada di antara Jumadi dan Syaaban."

Adapun hadis-hadis yang menceritakan kelebihan-kelebihan beramal ibadah di bulan Rejab, seperti berpuasa, bersedekah, qiamullail dan sebagainya, perlu kepada penelitian.

Al-Hafiz Ibnu Hajar Al-Asqalani, seorang ulama terkemuka dalam bidang hadis (ustaz pernah sebutkan dalam kuliah ustaz di surau) menulis sebuah kitab berjudul  "Tabyin al-'Ajaib bima warada fi fadl Rajab"  (تبيين العجب بما ورد فى فضل رجب)(Menyatakan Keajaiban terhadap riwayat yang menyebut tentang Kelebihan Bulan Rejab), menyatakan tidak ada satu pun hadis shahih yang menyatakan kelebihan serta fadhilat berpuasa di bulan Rejab.

Tanda kedhaifan hadis kelebihan Rejab ini begitu ketara sekali iaitu, janji pahala yang terlalu besar, tidak sepadan dengan amalan yang dilakukan. Perlu diingat, antara ciri sesebuah hadis itu dhaif ialah janji pahala yang tidak sepadan dengan amalan. Seperti juga kelebihan solat sunat Tarawih yang sering berlegar dalam masyarakat kita (Ustaz akan ceritakan permasalahan ini pada masa akan datang). Bahkan lebih teruk lagi, terdapat juga hadis-hadis yang bertaraf maudhuk (palsu) yang dijadikan sandaran untuk menyatakan kelebihan-kelebihan amalan ini.

Ingatlah, barangsiapa yang sengaja mengada-adakan, mereka-reka atau menyebar perkara-perkara yang tidak dinyatakan oleh Rasulullah SAW, maka sesungguhnya dia telah melakukan pendustaan dan jenayah terhadap Rasulullah SAW. Sekalipun perkara yang direka itu adalah bertujuan baik untuk memberi galakan dan motivasi untuk beramal ibadah. Rasulullah memberikan amaran terhadap orang yang berdusta atas namanya dengan ancaman yang berat. Sabda Rasulullah bermaksud: "Sesungguhnya berdusta ke atasku (menggunakan namaku) bukanlah seperti berdusta ke atas orang lain (menggunakan nama orang lain). Sesiapa yang berdusta ke atasku dengan sengaja, maka siaplah tempat duduknya dalam neraka." - (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim). Hadis Mutawatir.

Kesimpulannya,  hukum dan kelebihan berpuasa sunat pada bulan ini sama sahaja seperti bulan-bulan yang lain, sama ada puasa pada hari Isnin dan Khamis atau puasa tiga hari setiap bulan. Adapun kelebihan-kelebihan dan ganjaran itu, maka tidak boleh dijadikan hujjah dan sandaran.

Justeru semua kita perlu berhati hati dalam soal menyebarkan sesuatu hadis. Pastikan hadis yang hendak disampaikan itu bertaraf Shahih atau Hasan. Hadis Dhaif boleh diamalkan dengan syarat bukan bertaraf "Dhaif Jiddan" (Tersangat Dhaif). Adapun hadis Maudhuk, maka hendaklah dijauhi sama sekali.

Wallahu a'lam.

Zainul Ariff Husaini Zainul Fuad
Asrama Sek. Men. Sains Johor.
24/5/2012, 12.10 a.m.